suria

MCA-DAP Debat Mengenai Masa Depan Politik Kaum Cina Pada 18 Februari

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan berdebat mengenai isu berkaitan masa depan politik kaum Cina di negara ini pada 18 Februari ini.

Dr Chua berkata beliau telah bersetuju untuk berdebat dengan Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, pada salah satu sesi sempena forum sehari mengenai masa depan politik kaum Cina di Malaysia di sebuah hotel di sini.

Katanya beliau menerima pelawaan berdebat itu yang dianjurkan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dan kumpulan pemikir MCA, Institut Analisis Stategik Dan Penyelidikan Dasar (INSAP).

"Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau (Guan Eng) kerana menerima jemputan pihak penganjur untuk berdebat," kata Dr Chua kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di ibu pejabat parti itu di sini, Khamis.

Forum berjudul "Politik Rakyat Malaysia Keturunan Cina Di Persimpangan Jalan" dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semua parti politik berasaskan kaum Cina masing-masing dalam Barisan Nasional (BN) dan pihak pembangkang telah dipelawa membentangkan pencapaian mereka pada forum tersebut.

Selain pemimpin parti politik, penceramah lain pada forum itu termasuk wakil-wakil dari badan-badan bukan kerajaan (NGO). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain