suria

Lelaki Didakwa Menipu Urusan Pas Lawatan Sementara

SHAH ALAM: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis atas dua tuduhan menipu untuk melanjutkan pas lawatan sementara di Klang, tiga tahun lepas.

Mohamed Zaidi Baba, 50, yang bekerja sendiri, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu di hadapan Hakim M Bakri Abdul Majid.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamed Zaidi didakwa memperdaya seorang pegawai kerajaan, Bulkini Paharudin supaya mempercayai bahawa dia boleh membantu melanjutkan pas lawatan sementara milik seorang warga Indonesia Mohammad Zain Basrun yang tamat tempoh pada 9 Ogos 2007, sedangkan dia mengetahui tempoh pas itu tidak boleh dilanjutkan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamed Zaidi didakwa memperdayakan Bulkini supaya mempercayai nama pemegang pasport Indonesia, Mohamad Zain Basrun dan Elly Herawati Sadin, tidak ada dalam data kemasukan sistem komputer Jabatan Imigresen sedangkan nama kedua-dua warga Indonesia itu terdapat dalam data jabatan itu. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohamed Zaidi didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Osman Bistro, No 24, Lorong Gudang Nenas, Jalan Pasar, Klang, pada 17 Jun 2009.

Pegawai Pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azuan Adzhar menawarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguambela Mohamed Zaidi, Mohd Fairus Jaffril tidak membantah dan memohon kedua-dua pertuduhan dibicarakan serentak.

Hakim membenarkan Mohamed Zaidi dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 Februari ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain