suria

Laporan Rasmi Penahanan Hilmi Belum Diperolehi - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya belum menerima laporan rasmi mengenai penahanan Azmin Hilmi di Batam Indonesia yang disyaki terlibat menyebar gambar bogel bekas teman wanitanya, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

"Kita belum terima laporan rasmi. Tapi kita telah mendapat kerjasama Interpol sejak awal lagi dan dalam kes ini seperti biasa siasatan akan dijalankan.

"Jadi bila saya dapat laporan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk Seri Mohd Bakri Zinin) mengenai kes ini, saya harap kita boleh umumkan kepada orang ramai," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Akhbar hari ini melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata pihaknya telah menerima pengesahan identiti lelaki itu daripada pihak berkuasa Indonesia.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pihak berkuasa Batam, Indonesia ketika dia cuba memperbaharui pasport dengan menggunakan kad identiti dan sijil lahir palsu di Jabatan Imigresen Batam. Pemeriksaan lanjut pihak berkuasa Indonesia terhadap lelaki itu kemudian mendapati dia warga Malaysia dan mendakwa dirinya adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mengenai sama ada Azmin Hilmi perlu dibawa pulang ke Malaysia, Hishammuddin berkata ia juga bergantung pada siasatan polis.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata pengendali portal berita 'Malaysia Today' Raja Petra Kamaruddin boleh membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat keraguan di sebalik kematian ahli perniagaan Datuk Patrick Wong.

Polis hari ini menjelaskan kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) itu pada 2009 telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh sejak awal lagi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain