suria

Isu NFC: MCA Yakin Shahrizat Akan Laksanakan Kebijaksanaan Politiknya

KUALA LUMPUR: MCA yakin Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan melaksanakan kebijaksanaan politiknya berhubung kontroversi Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), kata presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Beliau adalah pemimpin parti kanan. Kami yakin beliau akan membuat keputusan terbaik berdasarkan kepentingan BN dan Umno.

Dr Chua berkata demikian apabila ditanya adakah Shahrizat harus meletakkan jawatan daripada kabinet berhubung kontroversi NFC.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyerahkan cek kepada 21 individu untuk rawatan perubatan di Wisma MCA pada Khamis.

Berhubung persepsi negatif terhadap BN berhubung kontroversi itu, Dr Chua berkata orang ramai tidak harus menghakimi perkara itu kerana pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi menyiasat perkara berkenaan.

"Kita harus serahkan kepada undang-undang. Tidak ada sesiapa yang bersalah sehingga dibuktikan," katanya. Isu mengenai NFC, yang diterajui suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail sebagai pengerusi eksekutif, mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan bahawa NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Ia semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Semalam, Shahrizat tampil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM dan mempertahankan kenyataannya bahawa beliau tidak pernah terlibat dengan sebarang keputusan, dan tidak ada apa-apa kaitan dengan isu dalam NFC. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain