suria

Hasan Ali Mahu Jadi Menteri Besar: Khalid

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad pada Khamis mendakwa bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali tidak henti-henti memfitnah Pakatan Rakyat terutamanya PAS kerana beliau mahu mencapai cita-citanya untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Menurut Khalid, Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bersetuju untuk melantik Hasan sebagai Menteri Besar Selangor jika PAS dan Umno bersatu untuk memerintah negeri tersebut selepas Pilihan Raya Umum 2008.

"Satu pertemuan diatur oleh beliau untuk bertemu Umno kira-kira 10 hari sebelum menteri besar mengangkat sumpah.

"Saya pada ketika itu mewakili beliau atas arahan pucuk pimpinan parti untuk bertemu dengan Abdullah dan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Khalid turut memberitahu bahawa Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ada bersama dengannya ketika menghadiri pertemuan tersebut.

Jelas Khalid, dalam pertemuan itu Tun Abdullah menyatakan kebimbangan terhadap negeri Selangor yang hanya diterajui pemimpin Melayu dalam jumlah yang kecil iaitu lapan dari PAS dan lapan, Parti Keadilan Rakyat.

"Saya kata jalan penyelesaiannya cukup mudah...beri PAS lima kerusi tapi Abdullah kata tak boleh. Dia minta lapan pemimpin PAS lompat kepada Barisan Nasional (BN). Saya kata kenapa kita nak sertai Umno," katanya.

Sementara itu, Khalid turut mendakwa Hasan gagal dalam memainkan peranannya sebagai rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat kerana tidak dapat menerima pandangan ahli lain.

"Betullah kata Tuan Ibrahim bahawa dia bukan salah seorang pejuang Pakatan Rakyat. Dia adalah musuh dalam selimut yang berusaha menggagalkan misi Pakatan Rakyat. Hanya cakap dia saja yang betul.

"Oleh sebab itu, dia tidak puas hati duduk dalam Pakatan Rakyat dan berulang kali mencadangkan PAS supaya meninggalkan DAP dan PKR dengan mengemukakan bukti yang tidak tepat kepada pucuk pimpinan parti," katanya.

Beliau turut meminta Hasan supaya menghentikan pembohongan kepada umat Islam mengenai dakwaannya bahawa DAP akan menjadikan Malaysia sebuah negara republik sekiranya memenangi pilihan raya akan datang.

"Kenyataan itu tidak masuk akal. Jangan sengaja menakut-nakutkan orang Melayu tanpa menyertakan sebarang bukti...jangan main emosi.

"Kita perlu membandingkan prestasi Pakatan Rakyat dengan BN suatu ketika dulu. Biar rakyat pilih atas dasar prestasi bukan dengan dasar ketakutan," katanya.

Khalid berkata, sekiranya DAP mahu memerintah negara, parti itu perlu memenangi majoriti dua pertiga daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.

"DAP hanya bertanding 46 kerusi. Anda memerlukan 112 kerusi untuk berkuasa. DAP tidak boleh memerintah Malaysia dengan sendiri. Ia merupakan perkongsian kuasa atas dasar yang dipersetujui bersama," katanya.

Pada Ahad lalu, Hasan menyatakan pendirian untuk tidak lagi bersama PAS kerana mendakwa parti itu sudah terkeluar daripada landasan sebenarnya iaitu untuk memartabatkan Islam.

Hasan yang dipecat daripada PAS pada 8 Januari lalu memberitahu bahawa beliau tidak akan membuat rayuan berhubung pemecatannya daripada parti itu yang disifatkanya dilakukan secara autokratik dan tidak demokratik.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk keghairahan sesetengah pemimpin PAS untuk bersekongkol dengan PKR dan DAP demi mengutamakan sasaran menuju Putrajaya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain