suria

Dua Lelaki Diperintah Bela Diri Atas Tuduhan Bunuh

IPOH: Dua lelaki masing-masing diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini terhadap satu pertuduhan membunuh dan menyebabkan kematian seorang pekerja sambilan stesen minyak di sini, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Choong Siew Khim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap K.Nanda Kumar, 26, dan N. Yugaraja, 34, pada akhir kes pendakwaan pada Rabu.

Mahkamah menetapkan enam hari iaitu, 1, 2, 9, 22, 23 dan 26 Mac sebagai tarikh membela diri.

Kedua-dua mereka dituduh membunuh dan menyebabkan kematian Mohammad Khairuddin Mohamed, 42 di Lot 191515, Stesen Minyak Petronas Gunung Lang di sini pada 6.58 pagi, 11 November 2008.

Mereka dituduh mengikutSeksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 35 kanun yang sama, yang mana membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua lelaki yang merupakan tertuduh kedua dan ketiga, M.Tayalan, 36, dan N. Ganeson, 26, dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah selepas mendapati tiada bukti bagi mensabitkan mereka.

Nanda Kumar, Tayalan dan Ganeson dituduh kali pertama di Mahkamah Majistret di sini pada 10 Disember 2008.

Peguam Rajit Gill mewakili Nanda Kumar dan Yugaraja, peguam Ranjit Singh mewakili Tayalan dan Ganeson diwakili peguam Charan Singh sementara pendakwaan dilakukan Azizah Ahmad.

Mohd Khairudin yang bekerja sambilan di stesen minyak pada ketika kejadian juga merupakan kakitangan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan pelajar tahun satu program Ijazah Sarjana Muda Syariah Usuluddin, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain