suria

Dadah Bernilai RM700,000 Dirampas, 6 Ditahan Dalam Dua Serbuan

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket dadah antarabangsa dalam dua serbuan di Johor Baharu di Johor dan Cheras di sini dengan merampas dadah sintetik jenis Amphetamine bernilai RM700,000 dan menahan enam orang termasuk tiga wanita yang dipercayai menjadi keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Mohd Noor Rashid Ibrahim berkata dalam serbuan pada 31 Jan lepas di Johor Baharu, polis menahan seorang lelaki warganegara Singapura bersama dua wanita tempatan dan Filipina, yang kesemuanya berusia antara 30 dan 49 tahun.

"Mereka ditahan di Taman Austin Perdana hasil maklumat yang disalurkan pihak Biro Narkotik Pusat Singapura berhubung seorang rakyatnya yang amat dikehendaki yang bersembunyi di Johor. Dalam serbuan itu, kita merampas 1,000 biji pil Erimin 5," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Mohd Noor Rashid berkata dalam serbuan di Taman Orkid, Cheras pada 1 Feb lepas, polis menahan dua lelaki warganegara Nigeria dan Guinea serta seorang wanita tempatan, yang kesemuanya berumur antara 24 dan 42 tahun.

Hasil serbuan pada pukul 6 petang itu, polis merampas 2.8kg dadah jenis syabu, dipercayai untuk diseludup ke luar negara dengan menggunakan keldai dadah.

"Dadah itu disembunyikan di dalam 16 batang silinder piston kereta yang diletakkan dalam empat kotak. Kita percaya dadah ini dibawa melalui jalan darat dari negara jiran dan polis percaya Malaysia dijadikan transit sebelum dadah itu dihantar ke negara sasaran," katanya.

Mohd Noor Rashid berkata polis dapat mematahkan cubaan menyeludup dadah itu hasil maklumat orang awam dan bantuan agensi penguatkuasa dadah luar negara.

Beliau berkata mereka kini ditahan direman dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain