suria

Cuepacs Bentang Kertas Cadangan SBPA 22 Februari Ini

PUTRAJAYA: Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dijadual membentangkan kertas cadangannya kepada pasukan petugas khas semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada mesyuarat ketiga pasukan itu yang dijadualkan 22 Feb ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kertas cadangan komprehensif itu yang disediakan Jawatankuasa Bertindak SBPA yang diwujudkan khas oleh Cuepacs, dijangka siap sepenuhnya sebelum tarikh mesyuarat berkenaan.

"Selepas pembentangan itu (pada 22 Feb) barulah kita dapat memberikan gambaran awal sama ada semua tuntutan penjawat awam berhubung SBPA dapat ditunaikan atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat kedua pasukan petugas khas di sini, Rabu.

Beliau berkata tiada perkara baru yang dibincangkan pada mesyuarat, Rabu dan hanya meneruskan agenda mesyuarat pertama selain menumpukan kepada lima tuntutan yang dikemukakan Cuepacs sebelum ini.

Lima tuntutan Cuepacs itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

"Sebab itu mesyuarat tidak bangkitkan isu-isu baru dan hanya tumpukan kepada lima tuntutan itu sahaja dengan harapan segala perbincangan mengenainya dapat diselesaikan lebih awal dan tidak perlu berlanjutan sehingga tiga bulan," katanya.

Pada masa sama, Omar turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan dan persetujuan kerajaan membenarkan tiga lagi pemimpin kanan kesatuan itu untuk menganggotai pasukan petugas khas itu.

Tiga pemimpin kanan Cuepacs yang dicadangkan ialah Timbalan Presiden 1 Azih Muda, Setiausaha Agung Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan Jaafar Mansor dan mereka telah menerima surat pelantikan masing-masing pada Rabu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain