suria

Caruman KWSP Tidak Terjejas, Pinjaman Dijamin Kerajaan

PETALING JAYA: Wang caruman rakyat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan terjejas dengan langkah agensi kerajaan itu menyediakan pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah untuk membeli rumah kerana dana tersebut dijamin oleh kerajaan.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, pinjaman itu akan disalurkan menerusi sebuah yayasan yang ditubuhkan kerajaan untuk tujuan tersebut.

Menerusi penjelasan tersebut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau turut menolak dakwaan pembangkang bahawa pinjaman tersebut mengundang risiko kepada pencarum KWSP.

"Ia adalah pinjaman langsung dari KWSP kepada kerajaan, malah tidak melibatkan sebarang pinjaman secara langsung kepada pembeli rumah secara individu.

"Justeru tidak timbul soal pinjaman 'subprima' kerana ia dibuat kepada kerajaan Malaysia yang mempunyai penarafan kredit yang baik," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pemimpin Pakatan Rakyat bahawa KWSP dipaksa membuat pinjaman berisiko untuk membiayai langkah kerajaan menerusi program perumahan rakyat.

Pemimpin pembangkang turut mendakwa caruman KWSP sepatutnya dilindungi daripada menghulurkan pinjaman sedemikian kerana berkemungkinan besar wang itu tidak akan dipulangkan.

Bagaimanapun Khairy menegaskan bahawa dakwaan pembangkang itu tidak berasas sama sekali kerana pinjaman KWSP itu bukan disalurkan terus kepada peminjam tetapi kepada kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajan harus memberi maklumat penuh mengenai skim itu bagi menjawab segala persoalan rakyat terhadap cadangan pinjaman KWSP.

"Kerajaan tidak boleh mengumumkan skim seperti ini tanpa butiran yang diperlukan. Jika menteri tidak boleh jelaskan secara terperinci mengenai skin ini, beri ruang kepada pihak profesional untuk menerangkannya kepada orang ramai," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain