suria

Baharudin Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung - Patologi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner yang mendengar perbicaraan inkues pemandu teksi Baharudin Ahmad, yang meninggal dunia ketika menyertai perhimpunan haram 9 Julai tahun lepas, pada Khamis diberitahu bahawa lelaki itu meninggal dunia akibat serangan jantung.

Pakar Patologi Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Khairul Anuar Zainun, 37, memberitahu mahkamah bahawa rumusan yang dibuat hasil bedah siasatnya terhadap Baharudin mendapati punca kematian lelaki itu adalah disebabkan serangan jantung berdasarkan jantung lelaki itu yang pucat, membengkak serta tiga saluran darah jantung utamanya tersumbat dengan teruk.

"Berat jantung si mati juga tidak normal iaitu 500 gram, kebiasaan berat jantung yang normal adalah antara 250 hingga 300 gram. Selain itu, jantung si mati terdapat tanda-tanda rosak kerana terdapat parut di bahagian depan, tengah dan belakang jantung," katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh semasa pemeriksaan utama.

Dr Khairul Anuar turut memaklumkan bahawa berdasarkan hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap Baharudin pada 11.30 malam, 9 Julai tahun lepas, beliau tidak menemui sebarang kesan lebam dan cedera di keseluruhan bahagian anggota badan pemandu teksi itu.

"Tiada sebarang kecederaan dijumpai pada badan si mati termasuk kesan koyak, potong atau kesan bercorak pada tiga helai pakaian si mati.

"Selain itu, berdasarkan hasil pemeriksaan saya juga, tiada sebarang pendarahan pada tisu badan yang boleh memberikan gambaran ada atau tidak sebarang tanda alahan kepada si mati jika si mati terkena cairan, " katanya.

Beliau turut menganggarkan masa kematian Baharudin ialah antara 2.30 petang hingga 5.30 petang iaitu dalam tempoh enam hingga sembilan jam sebelum bedah siasat dijalankan.

Saksi ke-16 pendakwaan itu turut memaklumkan bahawa tiada sebarang bahan kimia gas pemedih mata ditemui ketika bedah siasat dijalankan pada spesimen cecair bebola mata yang diambil daripada lelaki itu.

Dr Khairul Anuar turut mengesahkan terdapat tiga kepatahan pada tulang rusuk kiri Baharudin disebabkan bantuan pernafasan pemulihan kardiopulmonari (CPR).

Terdahulu, Pakar Radiologi hospital itu Dr Mohamad Helmee Mohamad Noor, 41, memberitahu mahkamah bahawa Baharudin berisiko sebanyak 90 peratus untuk mengalami serangan sakit jantung.

"Berdasarkan kepada imbasan pengimejan (Imbasan CT) melalui perisian komputer terhadap mangsa, saya mendapati pesakit memiliki 90 peratus yis untuk mendapat serangan sakit jantung, " katanya.

Pakar itu turut memaklumkan bahawa Baharudin juga mengalami pembentukan kalsium yang teruk di bahagian saluran utama pembuluh darah. "Selain itu, hasil bedah siasat saya menerusi sistem itu juga menunjukkan tiada kepatahan berlaku di bahagian kepala, leher dan tengkorak pesakit, namun tulang rusuk kiri pesakit patah," katanya yang membuat penilaian itu bersama Ketua Jabatan Radiologi, HKL Dr Zaleha Abdul Manaf.

Saksi ke-15 pendakwaan itu memberitahu laporan hasil penilaian radiologi yang dibuatnya kemudian diserahkan kepada Dr Khairul Anuar pada 26 Ogos tahun lepas. Inkues yang didengar di hadapan Koroner Zulkpli Abdullah bersambung esok. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain