suria

Tan Tunggu Surat Rasmi Pemecatan Untuk Tindakan Susulan

Oleh IZRA ABD RAHMAN PETALING JAYA: Sehingga kini Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Pulau Pinang, Tan Tee Beng masih belum menerima sebarang surat atau kenyataan rasmi berhubung pemecatannya.

Tan berkata, surat atau dokumen rasmi adalah perlu untuk beliau membuat tindakan susulan.

"Saya masih tunggu surat pemecatan secara rasmi. Saya mahu tengok kandungan, tengok apa cerita di dalamnya," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Tan berkata, sebaik sahaja menerima surat rasmi daripada parti tersebut, beliau akan terus membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Bagaimanapun, beliau tidak akan mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari berhubung pengguguran jawatannya seperti mana yang dinyatakan oleh Ketua Penerangan Kita, Mohamed Mazlan pada Selasa.

"Tak naklah (rayuan). Tak larat lagi minta penjelasan.

"Sekarang tunggu surat sahaja sebab saya tak diberi surat tunjuk sebab sebelum dipecat," kata ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Pada masa yang sama, Tan turut menyatakan keraguannya tentang status dirinya sebagai ahli Kita.

"Dilucutkan jawatan saya tahu, tapi status sebagai ahli saya tak pasti sebab apa-apa keputusan yang dibuat tak diberitahu terus kepada saya," jelasnya.

Sebelum ini, Mohamed Mazlan berkata Tan hanya dilucutkan jawatan, bukannya dipecat daripada parti.

Namun, terdapat desas-desus yang menyatakan Tan turut disingkirkan daripada menjadi ahli.

Menurut Tan, sejak keputusan pelucutan jawatannya serta-merta dibuat pada mesyuarat jawatankuasa disiplin, malam Isnin, beliau tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu.

Walau bagaimanapun, kata Tan beliau sudah mendapat tahu tentang berita pemecatannya dari pihak media pada Jumaat.

"Saya tak tahu langsung dan hanya dimaklumkan oleh pemberita. Mereka (pemberita) telefon saya kata terima faks dari Kita yang menyatakan saya dan Zamil Ibrahim dipecat," katanya.

Zamil Ibrahim merupakan seorang lagi pemimpin peringkat negeri (Kedah), yang juga dilucutkan jawatan bersama Tan sebagai pengerusi negeri.

Keputusan pemecatan kedua-dua pemimpin ini diambil selepas Kita meneliti pelbagai faktor serta kenyataan yang dibuat Zamil dan Tan terutama berhubung hasrat pembubaran Kita.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Penjenayah Ditembak Mati

Artikel Lain