suria

SPR Ingatkan Pembangkang Tidak Ghairah Tarik Pemerhati Asing

KOTA BAHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti-parti pembangkang supaya tidak ghairah menarik pemerhati asing ke negara ini untuk memantau proses Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pemerhati asing, yang mungkin mewakili badan bukan kerajaan (NGO) tertentu, tidak memahami undang-undang pilihan raya di negara ini.

Katanya mereka juga tidak faham budaya berpolitik di Malaysia selain tidak memahami sensitiviti rakyat negara ini.

"Dia (pemerhati asing) datang seminggu sebelum pilihan raya, kemudian buat andaian dan kesimpulan mengenai proses perjalanan pilihan raya di negara ini. Adilkah kepada rakyat Malaysia? Tentunya tidak!" katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Taklimat Persediaan PRU Ke-13 kepada pegawai polis dan pengurus serta penolong pengurus pilihan raya di Kelantan di sini, Rabu.

Wan Ahmad berkata pemerhati dalam negara adalah lebih adil kerana mereka memahami undang-undang pilihan raya negara ini, memahami sensitiviti rakyat malahan mereka mempunyai kepentingan dalam pilihan raya kerana mereka adalah rakyat negara ini.

"Janganlah kita ghairah hendakkan pemerhati asing, pemantau dalam negara oleh rakyat kita sendiri adalah lebih wajar. SPR akan kaji perkara tersebut yang mana (pemerhati dalam negara) kita nak lantik, sebelum pilihan raya bermula kita boleh putuskan," katanya.

Beliau berkata sistem dan proses pilihan raya di Malaysia adalah sistem yang sesuai bagi negara ini kerana penambahbaikan dilakukan daripada satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

"Pemerhati asing ini, dia suka memantau pilihan raya di negara kita tambahan sekarang dengan aktiviti parti politik yang suka menarik perhatian negara luar, macam pemimpin pembangkang pergi ke luar negara bercakap sana-sini, tentunya menarik minat pemerhati asing untuk datang memantau pilihan raya di Malaysia," katanya.

Wan Ahmad berkata berkata pasukan pemantau pilihan raya, yang diketuai pegawai SPR dan disertai pegawai polis, pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon, akan diwujudkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara kecuali di Sarawak mengikut Parlimen bagi memantau perjalanan PRU Ke-13 akan datang.

Beliau turut mengingatkan rakyat yang mencapai umur 21 tahun supaya segera mendaftar sebagai pengundi bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mengundi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Penjenayah Ditembak Mati

Artikel Lain