suria

Program Aman Kampus Jadi Platform Penggerak Masyarakat

MELAKA: Program 'Aman Kampus Kembara Mahasiswa Bersama Masyarakat' mampu menjadi platform kepada mahasiswa universiti di negara ini menjadi agen penggerak masyarakat yang lebih efektif dan berkesan dalam pembangunan negara pada masa hadapan.

Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) Mohd Shahar Abdullah berkata program tersebut dapat mewujudkan satu jaringan bersepadu antara mahasiswa, alumni dan badan bukan kerajaan serta masyarakat dalam menjayakan agenda pemerkasaan golongan muda.

"Program ini juga dapat menyuntik semangat patriotisme mahasiswa untuk terus menyokong dan memahami setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan kembara tersebut bagi peringkat negeri Melaka di Rumah Seri Kenangan Cheng di sini, Rabu.

Pelepasan kembara melibatkan 19 buah kereta dan empat buah bas itu disempurnakan Anggota Parlimen Tangga Batu, Datuk Wira Idris Haron.

Mohd Shahar berkata Melaka menjadi lokasi kedua persinggahan program itu selepas lokasi pertama di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Selasa.

Katanya program tersebut yang memasuki hari ketiga hari ini disertai 180 peserta daripada 22 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan akan meneruskan kembara menuju ke Pasir Gudang, Johor sebelum ke Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan berakhir di Tanjung Karang, Selangor pada 19 Feb ini.

Acara kemuncak program tersebut ialah Himpunan Aman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Bersama Anak Muda yang bakal diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 17 Mac depan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Penjenayah Ditembak Mati

Artikel Lain