suria

Pengerusi Kita Kedah Pertikai Keputusan Pemecatan

Zamil Ibrahim
Zamil Ibrahim
Zamil Ibrahim

PETALING JAYA: Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) negeri Kedah, Zamil Ibrahim, yang dipecat daripada jawatannya berkuat kuasa serta-merta mempertikaikan tindakan tersebut kerana menyifatkan ia dibuat tanpa asas yang kukuh.

Pemecatan Zamil bersama Pengerusi Kita Pulau Pinang, Tan Tee Beng diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin, di kediaman presiden parti itu, Datuk Zaid Ibrahim di Kota Baru, Kelantan, malam Isnin.

Sambil menegaskan beliau tidak kecewa dengan tindakan tersebut, Zamil mendakwa keputusan itu sebagi cubaan untuk menafikan haknya sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang akan bermesyuarat pada hujung bulan ini bagi menentukan nasib parti.

"Pemecatan saya dan Tan merupakan tindakan tidak bijak yang memperlihatkan cubaan untuk memperkuda ahli parti.

"Adakah tindakan membantah parti daripada dibubarkan satu kesalahan? Kalau begitu, Zaid juga patut dipecat," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Menurut Zamil, beliau sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Zaid untuk menerajui parti berkenaan selepas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan untuk membubarkan parti tersebut Khamis lalu.

"Apa motif sebenar Zaid? Sepatutnya Zaid kena fikir secara rasional bahawa kepimpinan Kita di setiap negeri sudah hilang keyakinan terhadap beliau," katanya.

Jelas Zamil, selagi Zaid masih menerajui parti, rakyat tidak akan percaya terhadap matlamat penubuhan parti tersebut.

"Sepatutnya Jawatankuasa Disiplin pecat saja Zaid malam tadi (Isnin) bukan saya. Beliau sudah tidak layak untuk memimpin parti Kita.

"Kenapa parti Kita negeri Melaka dibubarkan sebulan yang lalu? Itu membuktikan beliau (Zaid) gagal mengurus parti dengan baik. Apabila gagal letaklah jawatan," katanya.

Zamil berkata, Zaid seharusnya memberi peluang kepada orang lain untuk menerajui parti dan menjadikan Kita sebuah parti yang menyokong idea-idea yang sederhana progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban dalam wacana politik.

Meskipun dipecat, Zamil memberitahu beliau tidak akan tunduk dengan keputusan itu dan akan terus menjalankan tugasnya seperti biasa.

"Parti Kita negeri Kedah akan mengadakan usul tergempar dalam mesyuarat khas, Jumaat ini bagi mendesak Zaid meletak jawatan sebagai presiden parti," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Penjenayah Ditembak Mati

Artikel Lain