suria

KWSP Tidak Beri Pinjaman Kepada Individu

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mengeluarkan pinjaman kepada individu, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pelaburan KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada Rabu.

Sehubungan itu, katanya mana-mana individu yang berminat mendapatkan pinjaman bagi tujuan membeli rumah perlu memohon terus kepada kementerian berkenaan.

Beliau berkata demikian di dalam kenyataan bagi menjelaskan mengenai skim yang diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Datuk Raja Zainal Abidin baru-baru ini berhubung cadangan penjualan perumahan awam kepada peserta yang layak.

Menurutnya, kumpulan wang itu masih berbincang dengan syarikat tujuan khas Yayasan Wilayah Persekutuan (SPV Yayasan WP) untuk memberikan pinjaman dengan syarat-syarat yang sedang dimuktamadkan.

Pada asasnya, syarat-syarat itu melibatkan kemudahan awal RM300 juta dengan pinjaman selanjutnya akan diluluskan atas budi bicara Panel Pelaburan KWSP, yang tertakluk kepada prestasi memuaskan pengendalian akaun oleh SPV Yayasan WP.

Kemudahan itu akan disemak semula 12 bulan selepas tarikh bayaran terakhir daripada jumlah RM300 juta dibuat.

"KWSP ingin memberikan jaminan kepada ahlinya bahawa semua pinjaman yang diberikan KWSP kepada Kerajaan Malaysia atau agensi kerajaan lain dibuat berdasarkan pertimbangan komersil dan dengan jaminan yang bersesuaian untuk melindungi kepentingan ahli," katanya bagi menjelaskan pertanyaan yang diterima dari orang ramai mengenai pinjaman tersebut.

Di dalam kes ini, SPV Yayasan WP akan mengadakan urusan pajakan (Skim Ijarah) dengan peserta individu. Hakmilik rumah tersebut kepunyaan SPV Yayasan WP sehingga urusan pajakan di bawah Skim Ijarah itu diselesaikan sepenuhnya oleh peserta terlibat.

Pinjaman kepada SPV Yayasan WP adalah terjamin kerana semua unit rumah akan dicaj atau diuntukkan oleh SPV Yayasan WP kepada KWSP, dengan perlindungan jaminan sekurang-kurangnya dua kali ganda amaun pinjaman.

Di samping itu, katanya terdapat penahanan tunai 25 peratus daripada pembayaran pinjaman KWSP kepada SPV Yayasan WP yang akan disimpan dalam akaun rizab kecairan yang diuntukkan kepada KWSP bersama-sama dengan semua peruntukan aliran tunai.

"Syarat perjanjian pinjaman juga dalam risiko boleh diterima KWSP kerana ia dicagarkan terhadap aset dan aliran tunai dengan jaminan yang sesuai ke atas pembayaran balik pinjaman yang dibuat. KWSP difahamkan bahawa SPV Yayasan WP hanya akan memilih peserta yang mempunyai rekod bayaran sewa yang baik," katanya.

"KWSP juga meminta SPV Yayasan WP melantik institusi kewangan yang bersesuaian untuk menguruskan pentadbiran pinjaman skim ini bagi memastikan akaun individu diuruskan dengan baik."

Di bawah cadangan syarat perjanjian, Shahril berkata DBKL akan membeli balik rumah-rumah berkenaan bagi mendapatkan aliran tunai yang diperlukan untuk pembayaran balik pinjaman jika peserta tidak membayar pinjaman.

"Berdasarkan syarat dan aturan jaminan yang telah KWSP kemukakan, KWSP dilindungi sepenuhnya dan kadar keuntungan tahunan 5.5 peratus yang dikenakan adalah wajar," katanya.

"KWSP sentiasa menyedari keprihatinan ahli dan ingin menegaskan bahawa simpanan persaraan mereka dilaburkan secara berhemah dalam rangka kerja urus tadbir yang baik dan menerima pakai profil risiko-pulangan yang konservatif," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Penjenayah Ditembak Mati

Artikel Lain