suria

Gigi Baharudin Patah Kemungkinan Disebabkan Rawatan Kecemasan:Saksi

KUALA LUMPUR: Kecederaan di bahagian bibir dan gigi pemandu teksi Baharudin Ahmad yang patah berkemungkinan disebabkan rawatan kecemasan yang diberikan, Mahkamah Koroner diberitahu di sini, Rabu.

Pegawai Perubatan Dr Murniza Murad, 33, berkata gigi pesakit yang patah boleh berpunca daripada rawatan intubasi dengan memasukkan alat besi ke dalam saluran pernafasan pesakit melalui mulut.

"Proses intubasi secara amnya membolehkan gigi seseorang patah kerana ketika alat tersebut dimasukkan di ruang antara gigi, kita akan menarik alat itu ke bahagian atas untuk mendapatkan pandangan yang bagus...itu yang boleh membuatkan gigi pesakit patah serta kecederaan di bahagian mulut," katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.

Pegawai Perubatan di Zon Resitasi, Jabatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu turut memberitahu mahkamah bahawa rawatan pernafasan pemulihan kardiopulmonari (CPR) juga boleh menyebabkan tulang rusuk seseorang itu patah.

Dr Murniza yang memberi keterangan dalan inkues bagi menyiasat kematian Baharudin, yang meninggal dunia ketika menyertai perhimpunan haram 9 Julai tahun lepas, juga berkata peratusan tulang rusuk patah disebabkan bantuan pernafasan melalui CPR adalah sebanyak 30 peratus.

Ketika pemeriksaan balas peguam yang mewakili keluarga Baharudin, Ahmad Jufliz Faiza, berkenaan tulang rusuk yang patah yang terdapat pada mangsa, Dr Murniza berkata, ia boleh berlaku disebabkan bantuan CPR yang dijalankan.

"Namun jika ia (CPR) dibuat mengikut prosedur yang betul dan teratur, kemungkinan kepatahan itu tidak akan berlaku.

"Dan sekiranya ia dikatakan patah akibat ditendang atau ditumbuk, kecederaan itu tidak akan sama dengan kesan melakukan CPR kerana tekanan yang dibuat ketika CPR dijalankan berbeza dan lebih kuat," katanya.

Sementara itu Dr Murniza turut memaklumkan bahawa selepas memeriksa mangsa, Baharudin didapati tidak bernafas lagi serta nadinya tidak dapat dirasai.

"Sejurus menerima pesakit (Baharudin) pada pukul 5.10 petang, saya terus memeriksanya dan didapati nadi mangsa tidak dapat dirasai, tekanan darah tidak dapat dibaca, jantung tidak normal serta tiada tindak balas daripada pesakit," katanya.

Katanya beberapa bantuan diberikan untuk menyelamatkan Baharudin antaranya memberi bantuan oksigen, melakukan CPR serta memberikan ubat cecair adrenalin bagi menyedarkan pesakit yang ketika itu tiada rentak normal pada denyutan jantungnya.

Inkues yang didengar di hadapan Koroner Zulkpli Abdullah bersambung, Khamis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Penjenayah Ditembak Mati

Artikel Lain