suria

Enam Terbunuh, Dua Parah Dalam Kemalangan Berasingan Di Perak

IPOH: Enam orang terbunuh termasuk dua daripadanya warga Myanmar manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan berasingan di negeri ini dalam tempoh 24 jam, Selasa.

Pemangku Ketua Polis Trafik Negeri, DSP Mohamad Roy Hashim berkata dalam kejadian pertama di Manjung malam Selasa, dua warga Myanmar terbunuh selepas motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di KM 1.5 Jalan Sitiawan-Kg Acheh.

Mereka yang terbunuh ialah pembonceng dikenali sebagai Mui Mg Mg, 25, namun penunggangnya belum dikenal pasti kerana tiada identiti ditemui pada mayat mangsa, katanya ketika dihubungi, Rabu.

Mohamad Roy berkata kejadian berlaku pada pukul 10.40 malam apabila mereka dikatakan dalam perjalanan dari pekan Sitiawan ke Kampung Acheh merempuh belakang lori yang diletakkan di tepi jalan.

Kedua-dua mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat, katanya.

Mohamad Roy berkata dalam kejadian lain di Km 376.5 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River, seorang wanita terbunuh, manakala suami dan anak saudaranya cedera parah apabila lori yang mereka naiki terbabas dan merempuh penghadang jalan.

Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 2.05 petang ialah penumpang lori Nurkhafiyah Abdul Aziz, 46, manakala suaminya Mohd Raie Muni, 43, yang memandu lori dan anak saudara mereka Nor Atika Zainal, 17, mengalami cedera parah, katanya.

Mohamad Roy berkata mayat Nurkhafiyah dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat dan kedua-dua mangsa yang cedera parah dirawat di hospital sama.

Ketika kejadian mereka yang berasal dari Sungai Besar, Selangor sedang dalam perjalanan dari Sungkai ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam kejadian di Kerian Km 182 Lebuhraya Utara-Selatan dua terbunuh apabila sebuah kereta terbabas lalu merempuh sebuah motosikal dan seorang lelaki yang berada di tepi jalan.

Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 2.55 pagi ialah penunggang motosikal Rohaizam Abdul Rahim, 21, berasal dari Bagan Serai dan pejalan kaki Jamaluddin Ahmad, 35, juga berasal dari Bagan Serai.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia ditempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat, katanya.

Pemandu kereta hanya cedera ringan. Dalam kejadian di Jalan Raja Nazrin dekat sini seorang penunggang motosikal terbunuh selepas merempuh penghadang di tengah jalan.

Mangsa Dineshnesan a/l Marimuthu, 17, yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Kejadian berlaku pada pukul 3 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya Simpang Pulai ke bandar raya Ipoh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Penjenayah Ditembak Mati

Artikel Lain