suria

Azizan Tepis Khabar Angin Peletakan Jawatannya Sebagai MB

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menepis laporan yang mengatakan beliau akan melepaskan jawatannya itu.

Beliau yang juga pesuruhjaya PAS Kedah sebaliknya menyifatkan laporan beberapa portal berita mengenai isu tersebut lebih merupakan serangan saikologi oleh mereka yang tidak gembira dengan gaya kepimpinannya yang tegas.

Azizan bagaimanapun tidak menafikan yang beliau telah menerima beberapa panggilan telefon bertanyakan hal tersebut sejak Selasa lagi.

"Saya tidak akan melayani isu-isu seperti ini kerana ia kebudak-budakan. Mereka menyerang saya kerana mereka tidak rasa yakin dengan diri mereka," katanya ketika dihubungi.

Laporan yang memetik sumber-sumber dari pejabat menteri besar sendiri sebagai berkata kononnya Azizan telah pun menyiarpkan surat peletakan jawatannya dan berkuatkuasa tiga jam selepas ia disiarkan.

Ditanya siapakah yang tergamak membuat spekulasi liar itu, Azizan berkata, ia mungkin dilakukan oleh kumpulan yang sama yang mahu dia disingkirkan sebagai menteri besar Kedah.

Ia juga kata Azizan mungkin perbuatan orang dari luar parti yang ingin melihat kerajaan pimpinan PAS menjadi lemah di Kedah.

“Saya ada di pejabat sehingga jam 6.30 petang semalam (Selasa)...jadi saya tertanya-tanya bagaimana cerita ini boleh dikatakan benar,” ujarnya.

Azizan baru-baru ini menjadi sasaran kritikan anggota Pakatan Rakyat kerana isu yang melibatkan pengantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) kerana mengambil bahagian dalam demo membantah urusan pentadbiran kolej itu Mei tahun lalu.

Azizan berpegang teguh dengan keputusan Kuin untuk menggantung pengajian pelajar-pelajar berkenaan kerana katanya adalah tidak wajar untuk menghalang pihak universiti daripada mengambil tindakan ke atas pelajar yang melanggar peraturan dan disiplin.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri kemudiannya telah mengarahkan Azizan supaya tidak mengulas mengenai isu itu lagi.

Azizan juga turut menegaskan bahawa ini bukanlah kali pertama isu mengenai peletakan jawatannya menjadi buah mulut orang ramai sejak beliau menjadi menteri besar pada 2008.

Isu yang sama katanya telah dibangkitkan selepas beliau dimasukan ke Institut Jantung Negara (IJN) tahun lepas.

Malah kata Azizan ada khabar angin yang mengatakan yang beliau telah meninggal dunia.

Azizan menegaskan tumpuannya sekarang ialah membuat persediaan ke arah pilihan raya umum akan datang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Penjenayah Ditembak Mati

Artikel Lain