suria

83 Premis Taska Haram Masih Beroperasi Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 83 premis Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di Terengganu masih beroperasi secara haram kerana belum mendapat lesen yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JKM Terengganu, Muhammad Zain Mahmud berkata jumlah itu adalah lebih 50 peratus dari 161 premis taska yang terdapat di seluruh negeri itu.

"Jabatan telah menghantar surat amaran kepada pengusaha-pengusaha taska berkenaan dan kini mereka masih dalam proses mendapatkan kelulusan daripada tiga agensi teknikal iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan.

"Bagaimanapun, kebanyakan pengusaha taska itu didapati sukar melepasi tahap lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) yang disertai pengasuh yang bekerja di taska masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Muhammad Zain berkata daripada jumlah itu, 27 premis taska haram beroperasi di Kuala Terengganu, Kemaman (18), Dungun (20), Besut (14) dan masing-masing dua premis di Setiu dan Hulu Terengganu.

"JKM memandang serius terhadap taska haram ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pengusaha masih berdegil untuk mendapatkan lesen sah daripada JKM. Kita boleh sita premis taska berkenaan.

"Kebanyakan pengusaha taska di negeri ini akan bertindak segera setelah mendapat surat amaran kedua daripada JKM," katanya. Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memilih taska yang berlesen sebagai tempat menghantar anak mereka ketika keluar bekerja.

"Sehingga kini, masih belum terdapat sebarang kes yang tidak diingini berlaku di taska-taska haram itu seperti kejadian bayi lemas atau mati akibat tersedak susu.

"Jabatan sentiasa memantau pengendalian operasi semua taska di negeri ini dan memastikan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan oleh JKM antaranya bilangan nisbah antara pengasuh dan kanak-kanak mestilah pada jumlah yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Penjenayah Ditembak Mati

Artikel Lain