suria

PM Umum Peruntukan RM2 Juta Untuk Pusat Kebudayaan Di Batu Caves

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan Batu Caves di sini.

"Saya berharap dengan peruntukan awal ini kerja-kerja permulaan boleh dilaksanakan," katanya disambut tepukan oleh pengunjung-pengunjung Batu Caves yang hadir pada sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves di sini, Selasa.

Pada 2010, Najib mengumumkan peruntukan RM3.6 juta bagi mengindahkan Batu Caves selain RM4 juta untuk membina bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batu Caves, yang mana kedua-dua projek itu telah pun siap dilaksanakan.

Pengumuman itu merupakan respon Najib kepada ucapan Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman, Datuk R Nadarajah yang memohon peruntukan bagi membina auditorium dan pusat kebudayaan di kuil berkenaan memandangkan ia sering menjadi tumpuan pelancong.

"Pembinaan itu adalah satu kemestian kerana kuil ini sering menjadi lokasi persidangan antarabangsa dan dengan adanya auditorium dan pusat kebudayaan, kita akan menarik lebih ramai pengunjung," kata Nadarajah.

Terdahulu, Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda, dan ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

"Ada beberapa perkembangan yang menjadikan lawatan hari ini lebih bermakna antaranya, ini buat pertama kalinya saya pakai Kurta, dengan Datuk Hishammuddin (Menteri Dalam Negeri), kami kelihatan lebih etnik India daripada orang India," katanya berseloroh.

Kunjungan beliau juga untuk melihat sendiri perkembangan di Batu Caves terutamanya selepas projek penambahbaikan itu dijalankan selain sebagai pusat pelancongan dan kebudayaan yang popular di dalam dan luar negara. - BERNAMA

Artikel Lain