suria

Pelajar Cerita Detik Cemas Disamun Empat Penjenayah

KUALA SELANGOR: Seorang pelajar kolej menceritakan detik cemas bersama anggota keluarga ketika disamun empat penjenayah bersenjata, tiga daripadanya ditembak mati oleh polis awal Selasa di Kampung Parit Mahang di sini.

Mohd Aminudin Abdul Rahim, 20, pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Sri Gading, Johor, berkata dia bersama seorang adiknya sedang tidur di tingkat atas rumah ketika dikejutkan oleh seorang penjenayah terbabit kira-kira pukul 3 pagi.

"Penjenayah itu bersama tiga lagi rakan lain yang memegang parang, sabit dan kuku kambing kemudian membangunkan anggota keluarga saya yang lain termasuk bapa, Abdul Rahim Din, 46, dan ibu Noryatimah Jamal, 42.

"Keempat-empat mereka, seorang memakai topeng, menghimpunkan kami di ruang tamu. Tangan saya diikat dengan kabel komputer riba dan menggunakan kain batik mengikat bapa dan seorang adik lelaki.

"Namun emak dan tiga lagi adik saya berumur antara setahun lima bulan hingga 10 tahun tidak diapa-apakan. Saya terdengar penjenayah berkata yang emak saya ada anak kecil," kata Aminudin ketika ditemui di rumahnya.

Menurut pelajar itu, kesemua mereka dipaksa menyerahkan barang kemas dan setelah diberitahu tiada emas, kesemua lelaki itu terus menggeledah rumah serta mengambil komputer riba, enam telefon bimbit dan wang tunai kira-kira seribu ringgit.

"Lelaki-lelaki tersebut meminta kunci kereta dan menggeledah serta mengambil sebuah lagi telefon bimbit dari dalam kenderaan. Jumlah kerugian kira-kira RM10,000 semuanya," kata pelajar itu.

Mohd Aminudin berkata selepas menggeledah selama kira-kira setengah jam, keempat-empat lelaki itu meninggalkan rumah mereka menaiki sebuah kereta membawa bersama barang-barang serta wang tunai.

Pelajar itu berkata dia kemudian cuba mengejar penjenayah tersebut menaiki motosikal sejauh dua kilometer dan bertemu polis dalam kereta peronda yang menyuruhnya meninggalkan kawasan itu.

Mohd Aminudin kemudian terdengar bunyi empat das tembakan dan diberitahu bahawa polis menembak mati tiga lelaki di satu kawasan ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya sementara seorang rakan penjenayah berjaya melarikan diri dan sedang diburu polis. - BERNAMA

Artikel Lain