suria

Tohmahan Perkara Biasa Kepada Seorang Pemimpin - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan tuduhan atau tohmahan seperti yang dihadapinya berkaitan kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) sebagai perkara biasa yang dialami seseorang pemimpin.

Malah, beliau juga memahami apa yang dilakukan oleh pembangkang adalah semata-mata untuk melemahkan semangat beliau selaku Ketua Wanita Umno, yang juga menjadi kekuatan kepada parti itu dan Barisan Nasional (BN).

"Di serata dunia, setiap kerajaan dan setiap parti politik, sama ada anda dengan kerajaan atau dengan pembangkang, anda melalui tempoh yang penuh cabaran. Tidak ada yang luar biasa atau anih.

"When you are a leader, you will always (be) on the line of fire," (bila anda jadi pemimpin, anda akan sentiasa berada di sasaran serangan), katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hamper sempena sambutan Maulidul Rasul, di Wad Bersalin, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, Ahad.

Shahrizat berkata beliau tidak akan menjawab soalan-soalan berkaitan dengan NFC kerana siasatan sedang dijalankan dan meminta semua pihak tidak melabelkan beliau bersalah sehingga keputusan dibuat.

"Sebagai seorang peguam dan bekas majistret, tidak mendapati seseorang itu bersalah sehingga terbukti demikian. Itu undang-undang dalam negara," katanya.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata yang menjadi kekuatan kepada dirinya untuk terus berjuang apabila melihat semangat dan kekuatan wanita dan golongan kurang upaya (OKU) yang tidak goyah ketika menghadapi cabaran dan dugaan.

"Apa yang beri inspirasi kepada saya ialah kumpulan sasar kementerian iaitu wanita, kanak-kanak, OKU dan orang miskin kerana saya mempunyai vision untuk mereka dan saya sayang kepada mereka," katanya.

Shahrizat berdepan isu NFC, yang diterajui suaminya Dr Mohamad Salleh, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Sementara itu, sempena sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah, seramai 13 bayi terdiri daripada tujuh lelaki dan enam perempuan dilahirkan di HKL, dua daripadanya dilahirkan secara "caesarean". - BERNAMA

Artikel Lain