suria

Teruskan Meletak Kepercayaan Kepada Kerajaan - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa masyarakat Hindu di Malaysia supaya terus meletakkan kepercayaan atau 'nambikei' mereka di dalam kerajaan.

Beliau berkata dengan kepercayaan ini, kerajaan dapat bekerjasama dan membantu komuniti secara lebih efektif dalam menangani cabaran serta mencapai hasrat untuk kehidupan yang lebih baik.

"Kami sentiasa komited untuk memenuhi segala janji kami kepada komuniti dan akan melakukan apa yang diperlukan untuk membantu mereka mencapai impian masing-masing," katanya dalam mesej sempena sambutan Thaipusam yang dimuatkan dalam laman blog beliau, www.1malaysia.com.my.

Najib berkata masyarakat Hindu menyambut perayaan Thaipusam dengan mengunjungi kuil-kuil di seluruh negara untuk menunaikan hajat serta untuk memanjatkan kesyukuran mereka.

Beliau berkata ramai juga yang akan bernazar dan berdoa untuk kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang terjamin bagi anak-anak mereka.

"Adalah menjadi lumrah bagi setiap individu mempunyai keinginan untuk menambah baik kualiti kehidupan diri sendiri dan orang kesayangan mereka," kata Najib, sambil menambah kerajaan mengetahui dan memahami keinginan tersebut.

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan salam kepada masyarakat Hindu di Malaysia sempena sambutan Thaipusam.

"Sekali lagi, kita dapat menghayati kepelbagaian budaya negara kita ketika masyarakat Hindu di Malaysia menyambut perayaan Thaipusam ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain