suria

Dua Pelajar Maut Nahas Jalan Raya Di Pahang

KUANTAN: Dua pelajar lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam dua kemalangan di Pahang, Ahad.

Dalam kejadian pertama, Ahmad Sheqal Ayub, 16, yang menunggang motosikal, terbunuh selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Km 55.5 Lebuhraya Pantai Timur dekat Maran, awal pagi ini.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik negeri ASP Zainalabidin Othman berkata kejadian berlaku 3.40 pagi ketika mangsa yang datang dari arah Chenor ke Maran terlanggar belakang sebuah lori, menyebabkannya terjatuh di atas jalan.

"Pada masa yang sama dua buah kereta dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal mangsa yang berada di tengah jalan," katanya kepada Bernama, di sini, Ahad.

Zainalabidin berkata mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Sementara itu, dalam kejadian 5 pagi tadi, Ahmad Syaifulnizam Amer Noordeen, 18, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat cedera parah pada badan selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Semangat, Pekan.

Mangsa yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia menunggang bersama rakannya Aiman Amir Khan Razali, 16, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada 8.30 pagi, katanya.

"Sementara rakannya, Aiman Amir yang juga pelajar Sekolah Menengah Vokasional Rompin yang membonceng motosikal terbabit cedera parah dan kini dirawat di HTAA," katanya.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Pekan.

"Kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain