suria

Calon SPM, STPM Perlu Aktif Kokurikulum Untuk Masuk Universiti

TEMERLOH: Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diingatkan supaya aktif dalam kegiatan kokurikulum sebagai syarat tambahan bagi melanjutkan pelajaran ke universiti di negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata ini kerana terdapat di mana pelajar tidak dapat menyambung pelajaran dalam kursus yang dipohon berikutan tidak mengambil bidang kokurikulum ketika persekolahan.

Menurutnya untuk memasuki universiti bukan sesuatu yang sukar, sebaliknya seseorang pelajar memerlukan dua persediaan awal iaitu kelulusan akademik yang cemerlang dan 10 peratus pencapaian dalam kokurikulum.

"Tujuan utama bidang kokurikulum diberikan penekanan bertujuan melahirkan mahasiswa berjiwa kental, berkualiti tulen serta ketahanan diri dan bersedia menggalas tanggungjawab apabila diamanahkan.

"Kita mempunyai 20 buah universiti awam dan 80 buah universiti swasta di mana setiap pelajar mempunyai peluang untuk memohon sesuatu kursus dan perlu mengambil berat bidang kokurikulum supaya ia tidak menjadi satu penghalang bagi mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang yang disukai kelak," katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Program Jom ke Menara Gading 2012 anjuran Pertubuhan Anak-Anak Kerdau di sini, Sabtu. - BERNAMA

Artikel Lain