suria

SPNB Bakal Perkenal Skim RM1M Pada Suku Kedua 2012

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) sedang mengkaji bentuk baharu Rumah Mesra Rakyat (RMR), yang akan memberi fokus kepada keperluan rumah bagi mereka yang berpendapatan antara RM1,500 dan RM3,000 sebulan.

Pengarah Urusan SPNB Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata RMR bentuk baharu itu mungkin diberi nama Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M), seperti yang diumumkan oleh pengerusinya Datuk Idris Haron.

Buat masa ini, SPNB masih dalam rundingan dengan tiga kerajaan negeri untuk memulakan skim RMR1M, dan akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini jika tiada sebarang halangan.

Beliau berkata jika fasa pertama di tiga negeri itu, yang belum dapat diumumkan, berjaya mendapat sambutan, SPNB akan memperluas skim tersebut ke seluruh negara.

"Kita bercadang membangunkan program RMR1M ini dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

"Beliau (Ahmad Husni) meminta kerajaan negeri menjalin usaha sama dengan SPNB untuk membina rumah-rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Kamarul berkata SPNB tidak lagi mengendalikan projek untuk membangunkan Rumah Mampu Milik (RMM) memandangkan kebanyakan projek RMM telah disepadukan menerusi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

"Adalah lebih baik jika PR1MA bersama dengan pemaju-pemaju swasta yang lain untuk menawarkan RMM di pasaran memandangkan ia adalah teras perniagaan mereka.

"Sejajar itu, SPNB tidak lagi memberi tumpuan mendalam terhadap penyediaan RMM bagi rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata konsep rumah mampu milik ini diterjemahkan oleh SPNB melalui program RMR1M, yang masih mengekalkan syarat yang sama seperti RMM iaitu untuk golongan yang berpendapatan daripada RM1,500 hingga RM3,000 sebulan.

Mengulas tentang perubahan fokus SPNB dalam menyediakan RMM, beliau berkata syarikat itu mempunyai tanggungjawab sosial yang besar dan tidak melihat keuntungan sebagai indeks petunjuk prestasinya.

Kamarul berkata indeks petunjuk prestasi SPNB ialah penyampaian iaitu bilangan rumah yang mampu disediakan oleh syarikat itu pada satu-satu masa.

"Pelaksanaan RMM di bawah SPNB ini bukannya tidak berdaya maju dan bukan sebab tiada permintaan, memandangkan dari segi dimensi perniagaan SPNB, ia tidak sesuai untuk melaksanakan program RMM.

"SPNB lebih sesuai untuk melaksanakan program RMR memandangkan kami mengutamakan penyampaian berbanding keuntungan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata SPNB ialah organisasi yang menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan dalam membangunkan RMM.

Sehingga akhir tahun 2011, SPNB berjaya menyiapkan 2,500 unit RMR diseluruh negara, dan sebanyak 3,333 unit RMM berjaya memperoleh sijil layak menduduki.

Bagi jumlah unit jualan pada tahun yang sama, syarikat itu telah meletakkan sasaran sebanyak 14,713 unit RMM untuk dijual dan sebanyak 11,840 daripada jumlah sasaran berjaya dicapai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain