suria

Peniaga Terlibat Lagi Dengan Dadah Selepas Keluar Penjara

HULU TERENGGANU: Menjalani hukuman penjara hampir 10 tahun akibat penyalahgunaan dadah tidak sedikitpun meninggalkan bekas di hati seorang peniaga apabila kembali terlibat dengan gejala itu tidak sampai dua bulan selepas dibebaskan.

Peniaga yang berusia 34 tahun itu ditahan dalam satu pemeriksaan di tepi jalan berhampiran Astaka Kuala Berang di sini kira-kira pukul 10.45 malam Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu ASP Mohd Rosli Mohd Amir berkata, hasil pemeriksaan ke atas poket seluar suspek, polis menjumpai sebungkus plastik berisi empat batang straw.

Katanya hasil ujian saringan air kencing, lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Setiap batang straw pula mengandungi 10 biji pil kuda dan secara keseluruhannya, sebanyak 40 biji pil kuda bernilai kira-kira RM1,200 telah dijumpai dalam poket seluar suspek," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, Ahad.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini," katanya.

Mohd Rosli berkata, penahanan lelaki itu membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Katanya, suspek kedua itu ditahan kira-kira pukul 1.20 pagi tadi di rumahnya di Kampung Gaung, Kuala Berang di sini.

"Suspek kedua berusia 31 tahun dan dipercayai pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari sebuah universiti.

"Ketika ditahan, suspek cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dengan anggota polis dan dia (suspek) juga sempat membuang satu objek yang dipercayai beg yang dipegangnya ke atas jalan," katanya.

Siasatan ke atas beg itu mendapati terdapat satu paket plastik lutsinar yang mengandungi 30 biji pil kuda dan pihak polis turut menjumpai wang tunai berjumlah RM620 daripada suspek, yang dipercayai hasil jualan dadah. Sementara itu, empat lelaki ditahan kerana didapati positif dadah jenis metamphetamine dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat karaoke di Jalan Besar berhampiran Wisma Kembang, Kuala Berang, petang Sabtu.

Mohd Rosli berkata dalam serbuan oleh sepasukan polis dari ibu pejabat polis daerah itu, sebanyak 45 pengunjung pusat itu telah diperiksa termasuk tiga wanita namun ketiga-tiganya negatif dalam ujian saringan air kencing.

Mohd Rosli berkata kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan dua tahun pengawasan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain