suria

Kastam, PDRM P.Pinang Kerjasama Banteras Jualan Minuman Keras Sempena Thaipusam

GEORGE TOWN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang (JKDM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri membuat rondaan sempena sambutan Thaipusam Selasa ini, bagi memastikan tiada minuman keras dijual di kawasan perayaan itu.

Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan JKDM, R. Mariappa berkata seramai 16 orang pegawai kastam terlibat dalam rondaan itu yang bermula dari Jalan Macalister hingga Jalan Kebun Bunga.

Beliau berkata pihaknya akan memberi tumpuan sepenuhnya di kawasan sekitar Jalan Kebun Bunga kerana ia merupakan kawasan paling ramai penganut Hindu berkumpul untuk menyambut Thaipusam.

Katanya rondaan pasukan kastam akan dijalankan selama dua hari bermula Isnin ini.

"Sekirannya kami mendapati sesiapa menjual minuman keras tanpa lesen runcit yang dikeluar oleh Lembaga Perlesenan dan Eksais Daerah serta Jawatankuasa Teknikal di kawasan berkenaan, golongan terlibat akan ditahan dan minuman keras juga akan dirampas.

"Individu yang terlibat akan didenda dengan membayar 10 kali ganda daripada jumlah nilai minuman berkenaan atau dibawa ke mahkamah," katanya pada sidang akhbar di Jalan Kebun Bunga di sini, Sabtu.

Yang turut hadir Pegawai Penguatkuasaan Kastam Bahagian Unit Narkotik Negeri, K. Navindran dan Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V. Subbarow. - BERNAMA

Artikel Lain