suria

Undang-Undang Malaysia Tangani Keganasan Selari Amalan Antarabangsa:Najib

MARANG: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan mempunyai undang-undang dalam menangani kegiatan keganasan yang selari dengan amalan terbaik antarabangsa.

Perdana Menteri berkata setakat ini, tindakan proaktif dan preemptif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani hal berkaitan keganasan merupakan kunci kejayaan negara sehingga tiada insiden serius yang berlaku.

"Tindakan proaktif dan preemptif yang dilaksanakan ini merupakan satu daripada kejayaan kita, tapi kita jangan salah guna kuasa ini, kuasa ini ialah kuasa untuk mencegah kegiatan keganasan sebelum ia berlaku," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dalam rangka kerja sehari ke Terengganu.

Beliau sebelum itu menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di sini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kerajaan memperkenalkan undang-undang lebih ketat dalam menangani ancaman militan dan pengganas di negara ini.

Ini berikutan kejayaan tentera Filipina membunuh rakyat Malaysia, Zulkifli bin Hir yang juga dikenali sebagai Marwan, yang merupakan seorang pemimpin pertubuhan Jemaah Islamiah (JI).

Zulkifli dianggap pemimpin kanan dalam JI dan kerajaan Amerika Syarikat telah menawarkan hadiah berjumlah US$5 juta (RM15.5 juta) untuk membunuh atau menangkapnya.

Najib berkata kerajaan sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman keganasan kerana ia boleh berlaku bila-bila masa, termasuk ketika keadaan negara tenang dan aman.

"Saya lihat bahawa salah satu sebab mereka aktif di luar Malaysia ialah kerana kawalan kita ketat di sini, jadi kebanyakan yang ada fahaman militan lari ke negara lain kerana mereka lihat di sana tapak yang lebih subur daripada mereka nak bergerak di Malaysia," katanya.

Katanya kerajaan berusaha mengekang insiden tidak diingini melibatkan keganasan yang boleh menyebabkan nyawa terkorban dan harta benda rosak.

"Kalau sudah berlaku, kesannya cukup buruk bukan saja kepada mereka yang terkorban tetapi perasaan dan imej rakyat Malaysia pada pandangan dunia luar nanti.

"Sebab itulah, macam manapun, dalam soal fahaman militan dan keganasan ini, kita mesti lakukan segala yang termampu untuk mencegahnya sebelum ia berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain