suria

Tabung Haji Umum Bonus 6 Peratus

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji Malaysia pada Jumaat mengumumkan kadar bonus sebanyak enam peratus bagi tahun 2011 yang akan diterima pendeposit pada Rabu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata angka itu melibatkan pembayaran bonus sebanyak RM1.67 bilion, meningkat 25 peratus berbanding RM1.33 bilion pada tahun sebelumnya.

"Walaupun Tabung Haji akan membuat pembayaran bonus pendeposit sebanyak RM1.67 bilion daripada keuntungan tahun kewangan 2011, ia dilakukan dengan berhati-hati dengan keadaan persekitaran ekonomi global semasa yang masih mencabar," katanya pada sidang akhbar, di sini.

Beliau berkata kadar bonus pendeposit Tabung Haji adalah kompetitif memandangkan pelaburan Tabung Haji terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah sahaja.

Bagaimanapun, katanya bonus itu yang merupakan peningkatan 0.5 peratus daripada 2010 adalah lebih baik berbanding kadar pulangan akaun deposit tetap perbankan Islam.

Katanya pendapatan Tabung Haji pada 2011 juga meningkat kepada RM2.2 bilion berbanding RM2.06 bilion pada tahun sebelumnya.

Sumber-sumber pendapatan Tabung Haji bagi 2011 adalah daripada pelaburan ekuiti yang menyumbang sebanyak 58 peratus, sekuriti hutang (15 peratus), hartanah (9 peratus), pasaran wang (7 peratus), pembiayaan (6 peratus), instrumen kewangan (4 peratus) dan lain-lain sumber ialah satu peratus.

Jamil Khir berkata dana pendeposit terkumpul Tabung Haji turut meningkat pada kadar 17 peratus tahun lepas kepada RM31.7 bilion berbanding RM27.11 bilion pada 2010.

Tabung Haji memperuntukkan zakat perniagaan sebanyak RM44 juta berbanding RM 41 juta pada tahun sebelumnya, katanya.

Jamil Khir berkata perbelanjaan operasi Tabung Haji juga terkawal walaupun terdapat peningkatan ketara akibat kenaikan kos tanggungan haji berjumlah RM105 juta bagi tahun 2011 berbanding RM65 juta pada tahun sebelumnya.

"Ini menggambarkan bahawa pelaburan Tabung Haji telah menghasilkan pulangan yang baik dan perbelanjaan operasi dapat dikawal secara berhemah," kata beliau.

Katanya sehingga kini Tabung masih memberikan subsidi kepada jemaah haji untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung mereka khususnya untuk jemaah haji kali pertama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain