suria

Salahuddin Persoal Dakwaan Abdul Rahman Berhubung Pengunduran Presiden PAS

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mempersoalkan dakwaan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Bakar yang menganggap keinginan Presiden PAS mahu berundur daripada politik hanya sandiwara dan sekadar menguji pasaran.

Sebaliknya, Salahuddin menyifatkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah pemimpin contoh yang tidak mengejar kedudukan dalam politik.

"Kenyataan Abdul Hadi (yang ingin melepaskan jawatan) jelas menunjukkan beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar dan membuktikan mengejar jawatan dalam politik bukan matlamat sebenar pemimpin PAS," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Menurut Salahuddin, kenyataan tersebut pada hakikatnya tidak perlu dijadikan isu kerana ia hanyalah kenyataan biasa daripada seorang pemimpin yang menggambarkan matlamat perjuangan beliau bukan untuk bertanding dalam pilihan raya semata-mata.

"Ia tidak menimbulkan masalah terhadap parti malah perkara itu tidak perlu dibincangkan dalam mesyuarat bulanan PAS akan datang," katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, khidmat Abdul Hadi masih lagi diperlukan untuk memimpin parti pada saat genting iaitu ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Bagi saya gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS amat diperlukan dalam merealisasikan misi Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya," katanya.

Sabtu lalu, Abdul Hadi menawarkan diri untuk tidak bertanding pada PRU akan datang memandangkan khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama sebagai wakil rakyat iaitu lebih 30 tahun.

Bagaimanapun, pemimpin Umno menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu seolah-olah menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam PAS.

Dalam laporan akhbar pada Jumaat, Abdul Rahman mendakwa kenyataan tersebut sengaja dibuat untuk melihat respons ahli, pemimpin PAS dan rakan politik dalam Pakatan Rakyat.

Sementara itu, PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Abdul Hadi untuk tidak bertanding pada PRU-13 sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Malah, PAS Pusat mahu beliau bertanding pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat biro politiknya yang diadakan di Pejabat Agung PAS di sini, Khamis.

"Tuan Presiden turut akur dengan keputusan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tuan Ibrahim berkata, dengan pengumuman tersebut, isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat khidmatnya masih diperlukan untuk memimpin PAS dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU-13.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain