suria

Perbicaraan Kes Bapa Kurung Anak 5 Mac

BUTTERWORTH: Mahkamah Majisteret di sini menetapkan 5 Mac ini untuk perbicaraan kes Tan Hooi Keong, 43, yang dituduh mengurung dua orang anaknya berusia enam dan dua tahun di dalam bilik air yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Majisteret Mohd Zamir Suhaimee membuat keputusan itu bagi membolehkan mahkamah memperoleh laporan perubatan kedua-dua kanak-kanak itu yang masih belum siap.

Tan menghadapi dua pertuduhan, yang pertama menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap Tan Ming Zhi, 6, dengan merantai kaki anak perempuannya itu dengan rantai besi dan mengurungnya di dalam bilik air pada 28 Dis 2011, antara 3 petang dan 8 malam.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap Tan Ming Han, 2, dengan merantai kaki anak lelakinya itu dengan rantai besi dan mengurungnya di dalam bilik air juga pada 28 Dis 2011 antara 3 petang dan 8 malam.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah nombor 21, Jalan Mawar, Taman Dahlia di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun atau denda tidak kurang RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masnuraznim Abdul Malik manakala Tan diwakili peguam bela Abdul Rahim Mohamed. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain