suria

PDRM Hantar Pasukan Khas Ke Filipina Untuk Sahkan Identiti Militan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghantar pasukan khas ke Filipina untuk mengesahkan identiti tiga rakyat Malaysia yang mati dalam serangan ke atas persembunyian kumpulan Abu Sayyaf, di Sulu, wilayah selatan negara itu pada Khamis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia ingin mendapatkan kesahihan kematian pemimpin kanan pertubuhan militan Abu Sayyaf dan Jemaah Islamiyah (JI) Zulkifli Abdul Hir.

"PDRM sedang berurusan dengan Philippine National Police untuk menyalurkan sampel DNA keluarga Zulkifli bagi tujuan pengesahan mayat," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Hishamuddin berkata, sekiranya mayat itu disahkan sebagai Zulkifli, pihak polis akan menguruskan kepulangan jenazah itu ke Malaysia untuk urusan pengkebumian.

Polis juga menunggu pengesahan dua lagi mayat anggota Darul Islam (DI) Sabah iaitu Bacho dan Jeknal Adil yang ditemui dalam serangan itu, katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mereka yang berjaya melarikan diri daripada tangkapan polis dalam operasi pada November 2011, dipercayai turut berada bersama-sama kumpulan Abu Sayyaf di Sulu ketika tentera udara Filipina menyerang tempat persembunyian mereka.

Lima belas militan dilapor terbunuh semalam dalam serangan tentera Filipina ke atas kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf dan pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) itu di selatan negara itu.

Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia memandang serius aktiviti militan haram serta kegiatan kumpulan pengganas dan sentiasa bekerjasama erat dengan negara luar dari segi keselamatan serantau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain