suria

Operasi Kesan Pati Tidak Daftar 6P Bulan Ini

KUALA LUMPUR: Operasi bersepadu bagi mengesan 1.3 juta Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati), yang tidak mendaftar dalam proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P), akan dilakukan di seluruh negara mulai pertengahan bulan ini.

Operasi itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen bersama-sama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ikatan Sukarelawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata operasi itu antara lain melibatkan 1,400 anggota penguatkuasa Imigresen dan 2.8 juta anggota Rela.

"Operasi ini akan diadakan selepas tamatnya proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) pada 15 Feb ini," katanya kepada Bernama, Khamis.

Sehingga kini, seramai 370,000 PATI telah mendaftar menerusi program 6P setakat ini.

"Berdasarkan operasi kita tahun lepas, kita telah memeriksa 35,000 pekerja/pendatang asing tanpa izin dan mendapati 4,000 daripada mereka tidak mempunyai sebarang permit pekerjaan," katanya.

Alias berkata kerajaan telah memberi ruang secukupnya buat PATI mendaftar dalam program 6P.

Operasi menangkap PATI yang tidak berdaftar adalah langkah yang wajar setelah kerajaan mengambil langkah proaktif terhadap pekerja asing, katanya.

Program 6P merupakan inisiatif kerajaan untuk mengesahkan status pekerja asing tanpa izin dalam usaha meredakan kekurangan tenaga kerja dalam beberapa sektor perkhidmatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain