suria

Ketua Polis Negara Selamat Kembali & Sihat

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hanya tergelak apabila mengetahui penyebaran khabar angin kononnya beliau meninggal dunia ketika membuat lawatan kerja di London.

Beliau bagaimanapun berharap agar tiada lagi tuduhan palsu dilemparkan terhadapnya selepas ini.

"Saya masih sihat. Saya bersyukur kerana dapat kembali ke rumah," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Khamis.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan beberapa pegawai kanan polis.

Ismail selamat tiba di ibu negara selepas lawatan lima hari ke London di mana beliau berbincang dengan polis negara terbabit, menghadiri pameran polis dan diberi penerangan mengenai persediaan pemantauan keselamatan untuk temasya Sukan Olimpik, London.

Mengenai berita kematiannya, beliau berharap agar individu yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu akan dikenal pasti bagi membolehkan tindakan susulan dikenakan terhadapnya.

Dalam lawatan kerja itu, Ismail berkata, beliau mempelajari teknik kepolisan yang dipratikkan di Britain dan akan mengamalkan beberapa pendekatannya di sini.

Pada majlis berasingan, Khalid berkata, dua individu berusia dalam lingkungan 20-an ditahan di Ipoh dan Pulau Pinang pada Rabu bagi membantu siasatan berhubung penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai kematian Ismail.

Katanya, dua individu terbabit bagaimanapun dibebaskan selepas kenyataan mereka direkodkan.

"Kami masih belum dapat mengenal pasti individu yang menghantar SMS tersebut," katanya.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan sama ada SMS tersebut disebarkan sebagai ancaman atau sebaliknya.

"Ia perkara serius. Kami memandang berat mengenai penyalahgunaan media sosial," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain