suria

Caj Tadika Swasta Masih Berpatutan: Ismail Sabri

SHAH ALAM: Caj yang dikenakan tadika swasta di negara ini masih berpatutan dan munasabah dengan pakej yang ditawarkan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata walaupun kementerian itu tidak mengawal secara langsung caj termasuk yuran yang dikenakan, pihaknya tetap memantau dengan meneliti permohonan francais yang dibuat pengusaha terbabit.

"Apabila menerima permohonan francais misalnya, kita akan teliti perkhidmatan serta pakej yang ditawarkan sama ada ia berpatutan atau tidak kepada pengguna.

"Tidak dinafikan terdapat perbezaan harga antara satu tadika dengan yang lain. Namun ia munasabah mengikut pakej yang ditawarkan dan perbezaannya tidak terlalu besar," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan cawangan ke-19 Tadika Genius Aulad di Seksyen 7, di sini, Jumaat.

Mengulas isu lain, Ismail Sabri berkata francaisor membabitkan sektor pusat pembelajaran dan asuhan kanak-kanak mencatatkan perkembangan memberangsangkan pada 15 peratus daripada 594 jenis perniagaan francais berdaftar di negara ini.

Katanya sektor itu berada di tempat kedua selepas perkhidmatan makanan dan minuman yang merekodkan perkembangan 34 peratus.

"Walaupun dari segi peratusan perkhidmatan tadika masih agak jauh berbanding perkhidmatan makanan dan minuman namun ia merupakan perkembangan yang baik terutamanya dari kalangan pengusaha bumiputera di negara ini," katanya.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Genius Aulad Learning Consultancy Sdn Bhd Zaliza Alias, berkata terdapat 20 tadika Genius Aulad di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Katanya sebanyak 20 lagi tadika Genius Aulad dijangka dibuka tahun ini antaranya di Johor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain