suria

Rayuan Terhadap 'Keputusan Terbuka' Mahkamah Koroner Dibenarkan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Khamis membenarkan keluarga Teoh Beng Hock membuat rayuan terhadap keputusan terbuka Mahkamah Koroner dalam siasatan kematian setiausaha politik itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Sulaiman Daud bersetuju sebulat suara terhadap hujah peguam Gobind Singh Deo bagi pihak keluarga Teoh bahawa terdapat isu perundangan yang perlu diperhalusi oleh mahkamah.

Panel itu juga membenarkan dua perkara rayuan dibuat pihak keluarga perayu.

Pertama membolehkan pihak keluarga itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Dis tahun lepas yang menolak rayuan untuk menyemak 'keputusan terbuka' dibuat Mahkamah Koroner sebelumnya.

Manakala perkara kedua ialah membolehkan notis mengemukakan rayuan dibuat dalam tempoh 14 hari selepas dibenarkan berbuat demikian.

Hakim Sulaiman meluluskan permohonan itu setelah mendengar hujah daripada Gobind dan daripada Timbalan Pendakwaraya Abazafree Mohd Abbas yang mewakili Jabatan Peguam Negara.

Dua orang lagi anggota panel Mahkamah Rayuan ialah Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim.

Di luar mahkamah, Gobind memberitahu pemberita bahawa Mahkamah Rayuan hendaklah menentukan sama ada koroner yang menjalankan penyiasatan perlu mengambil keputusannya berdasarkan imbangan kemungkinan atau suatu yang melampaui keraguan munasabah.

Katanya, terdapat dua pandangan yang berbeza terhadap cara mana majistret yang mengendalikan penyiasatan boleh menerima keterangan yang dikemukakan dan seterusnya bertindak mengikut lunas undang-undang.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, dijumpai mati di ruang tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor, pada 16 Julai 2009, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Selangor, yang terletak di tingkat 14 bangunan sama. Pada 21 Julai tahun lepas satu suruhanjaya siasatan diraja diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen telah menetapkan bahawa kematian Teoh akibat membunuh diri.

Sebelum itu pada 5 Januari, koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan kematian Teoh bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematian Teoh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain