suria

Polis Temui 54 Ketulan Mampat Ganja Dalam Kereta Suspek Terlibat Kemalangan

GERIK: Polis menemui 54 ketulan mampat dadah jenis ganja dalam sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki dua lelaki selepas keretanya terlibat dalam kemalangan di KM 47.8 Jalan Kuala Kangsar-Gerik di sini, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abd Manab Baharum berkata dadah tersebut ditemui selepas kereta yang dinaiki suspek yang berumur 40 dan 34 tahun itu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan kira-kira pukul 8.30 pagi.

"Bertindak atas maklumat orang awam mengenai kemalangan itu, polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dua lelaki tersepit dalam kereta itu.

"Pemeriksaan di bahagian belakang kereta suspek kita jumpa dua beg plastik kanvas di dalamnya berisi 54 ketulan mampat berbalut plastik lut sinar berisi daun kering disyaki ganja dengan harga anggaran RM205,000," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Beliau berkata suspek yang masing-masing bekerja sebagai penarik kereta dan mak andam itu mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Ipoh.

Katanya siasatan awal polis mendapati dadah tersebut adalah untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur berdasarkan alamat kediaman kedua-dua suspek di Kuala Lumpur.

"Dadah tersebut dijual dengan harga RM3,800 sekilogram," katanya.

Abd Manab berkata suspek yang bekerja sebagai penarik kereta itu mempunyai tiga rekod jenayah dadah dan dua rekod jenayah manakala rakannya tidak mempunyai rekod lampau.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam kes berasingan, hasil maklumat orang awam polis melakukan serbuan di sebuah rumah teres di Taman Desa Permata kira-kira 5.30 pagi dan menemui satu plastik hitam yang berisi 25 peket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis heroin.

"Dalam serbuan itu polis menahan seorang pembeli getah berumur 21 tahun dan merampas heroin seberat 163 gram (berat kasar) dengan harga anggaran RM24,459.

"Polis turut merampas sebuah lori Hicom Perkasa bernilai RM53,000, sebuah kereta Honda Accord (RM30,000) dan sebuah motosikal Honda EX5 (RM3,000) serta wang tunai bercampur-campur RM8,350," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain