suria

Pengusaha Kedai Kopi Dituduh Cederakan Penguasa MBMB

MELAKA: Seorang pengusaha kedai kopi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis terhadap tuduhan menghalang penjawat awam penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjalankan tugas dan mencederakan seorang daripada anggota penguatkuasa itu bulan lepas.

Koh Swee Beng, 49, dari Taman Kota Laksamana dituduh menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan bertindak agresif terhadap lima anggota penguatkuasa MBMB semasa mereka sedang menyita barangan di sebuah kafe siber beralamat No 18, Jalan SD2 2/2C, Taman Seri Duyong Seksyen 2, Kandang, di sini pada 11.30 malam, 26 Januari lepas.

Dia juga dituduh mencederakan seorang anggota penguatkuasa MBMB, Mutahir Abdul Rashid, 41, dengan menumbuk mangsa di tempat dan pada masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan pertama Koh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya dan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 323 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Majistret Ida Rahayu Sharif membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Cif Insp Muhammad Juhari Haron manakala tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain