suria

Masyarakat Diminta Ubah Salah Tanggapan Terhadap Mahasiswa

KUALA LUMPUR: Persepsi masyarakat terhadap mahasiswa pada masa ini perlu diperbetulkan bagi memperlihatkan kesungguhan golongan pelajar itu dalam memelihara kesejahteraan negara, kata Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) Mohd Shahar Abdullah. "Golongan mahasiswa hari ini telah disalah anggap oleh masyarakat kerana ada antara mahasiswa yang menganjurkan demonstrasi jalanan yang mencetuskan huru-hara, namun yang sebenarnya mahasiswa majoritinya mencintai keharmonian dan kedamaian negara," katanya pada sidang akhbar mengenai Program Aman Kampus di sini, Khamis.

Mohd Shahar berkata, walaupun sebelum ini terdapat segelintir mahasiswa bertindak di luar batas tetapi persepsi terhadap golongan itu perlu diperbetulkan kerana jika tidak masyarakat akan terus memandang negatif kepada mahasiswa malah imej negara turut tergugat dan tercemar.

Beliau berkata, Program Aman Kampus yang akan bermula Isnin depan bertujuan menyuntik semangat patriotisme kepada mahasiswa dan memantapkan pembangunan intelek mereka.

Program itu akan berjalan selama dua minggu melibatkan 160 mahasiswa dari 20 institusi pengajian tinggi awam dan lima swasta dengan kerjasama 19 badan bukan kerajaan (NGO).

Menerusi program ini, peserta akan melawat ke semua negeri di Semenanjung untuk menemui orang ramai antaranya pelajar sekolah, golongan belia dan pesara untuk mendalami masalah rakyat dan membantu menyampaikan maklumat balas kepada pihak berkuasa.

Mohd Shahar berkata, menerusi program itu juga penganjur akan menjelaskan isu-isu semasa.

"Kita ingin menggembleng suara sebenar majoriti mahasiswa mengenai masa depan mereka dan aspirasi mereka terhadap suasana hidup dan pembelajaran yang harmoni di kampus," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain