suria

Lapan Mati, Lima Hilang Selepas Bot Karam Di Perairan Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Lapan lelaki rakyat asing mati lemas, lima hilang manakala 12 lagi selamat apabila bot pancung yang mereka naiki karam di kedudukan tujuh batu nautika dari Teluk Semayong, Sedili, di sini, Rabu.

Kesemua mereka yang berumur antara 20 dan 35 tahun itu dipercayai rakyat Iraq dan Afghanistan yang cuba menyeludup keluar dari negara ini menuju negara jiran.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 6.30 pagi itu disedari oleh penduduk tempatan apabila menemui mayat lelaki terdampar di pantai Teluk Semayong dan memaklumkan kepada polis pada pukul 8 pagi Rabu.

Bercakap kepada pemberita di Balai Polis Kuala Sedili, di sini hari ini, Che Mahazan berkata hasil siasatan, polis percaya bot yang mereka naiki itu karam disebabkan lebihan muatan selain keadaan laut yang bergelora.

Kesemua yang selamat tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sekaligus menyukarkan polis untuk memastikan identiti sebenar mereka, katanya.

Beliau berkata berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat, mereka memberitahu tekong bot berkenaan melarikan diri sejurus kejadian.

Siasatan juga mendapati kesemua mereka tidak menggunakan laluan di sepanjang pantai Kota Tinggi ketika menyeludup keluar dari negara ini, katanya.

Che Mahazan berkata kes itu disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Kesemua mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Sementara itu, seorang mangsa yang terselamat yang hanya dikenali sebagai Atallah, 25, berkata dia bersama rakan lain mula berasa cemas apabila bot terbalik.

Katanya, kejadian berlaku dengan pantas dan dia hanya berfikir untuk menyelamatkan diri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain