suria

Salah Untuk Mengatakan Perdana Menteri Gagal Laksana Janjinya - Wisma Putra

KUALA LUMPUR: Wisma Putra menjelaskan adalah salah untuk mengatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah gagal melaksanakan janjinya dalam melakukan prubahan politik dan ekonomi.

Setiausaha Bahagian Penerangan dan Diplomasi Awam Kementerian Luar Ahmad Rozian Abdul Ghani dalam suratnya bertajuk 'Malaysia's Reforms are Real' yang disiarkan dalam Wall Street Journal, Rabu, berkata dalam tempoh kurang tiga tahun menjadi Perdana Menteri, Najib telah melakukan pelbagai perubahan.

Antaranya memudahkan syarikat asing untuk melabur di Malaysia, memansuhkan undang-undang yang menindas, menyediakan pendidikan percuma untuk semua, mengurangkan pengangguran dan meningkatkan pendapatan purata.

"Untuk rasuah, Perdana Menteri mengambil tindakan untuk menangani pelbagai isu seperti meluluskan Akta Pemberi Maklumat, mewujudkan mahkamah rasuah khas dan melancarkan ikrar integriti korporat untuk perniagaan," tulisnya dalam surat beliau yang disiar dalam kolum surat untuk editor WSJ.

Ahmad Rozian merujuk kepada kritikan bekas Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia John Malott terhadap pentadbiran Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) dalam artikel bertajuk 'Testing Malaysia's Promises' yang disiarkan WSJ pada 12 Jan.

Beliau menjelaskan bahawa perdana menteri dan kerajaan bekerja keras untuk memberi kemakmuran, keselamatan dan demokrasi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau politik.

"Telah tiba masanya bagi Mr (John) Malott, yang pandangannya sering dilihat dipengaruhi oleh hubungan peribadinya yang rapat dengan keluarga (Datuk Seri)Anwar (Ibrahim), untuk mengakui perkara itu dan memberi kredit yang sepatutnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain