suria

Safee Sali Buktikan Pemain Bola Kita Boleh Jadi Jutawan Seperti David Beckham Dan Lain-Lain

HEBAT...memang hebat. Ini bukan lagi khabar angin tetapi satu kenyataan. Penyerang skuad bolasepak kebangsaan, Safee Sali pada Rabu, 1 Februari 2012 mencatat sejarah sebagai jutawan bolasepak pertama negara apabila membuat keputusan untuk terus menyambung semula kontraknya bersama kelab Pelita Jaya FC, Jakarta, Indonesia selama dua tahun lagi. Kontrak itu bernilai RM2 juta.

Keputusan itu disahkan oleh Pengurusnya, Zakaria Rahim menerusi satu kenyataan media.

Kontrak tersebut ditanda tangani di Jakarta, pada Rabu.

Menerusi kontrak terbarunya itu, Zakaria berkata, Safee akan menerima pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai dibayar oleh kelab dan tiket pergi balik ke Kuala Lumpur bernilai lebih RM2 juta bagi tempoh dua tahun.

Ini bermakna beliau akan menerima pelbagai ganjaran dan pendapatan berjumlah RM1 juta setahun atau lebih RM100,000 sebulan - sekaligus menjadikannya sebagai pemain bolasepak profesional Malaysia yang pertama mencapai status jutawan.

Beliau juga ditawarkan saham di dalam Akademik Bolasepak Pelita Jaya yang kini merupakan salah satu akademik bolasepak yang paling popular di Indonesia.

Malah beliau telah dilantik sebagai kapten pasukan Pelita Jaya.

TITIK HITAM

Nampaknya di sebalik titik hitam bolasepak Malaysia yang masih dihantui oleh rasuah dan sindiket perjudian, Indonesia nampaknya telah berjaya mendahului kita dalam memimpin industri sukan bolasepak ke tahap yang lebih profesional dan penciptaan aura serta minat yang mendalam masyarakat terhadap sukan itu.

Malah mereka telah menghasilkan sebuah filem yang meninggalkan impak tinggi berkisar tentang minat seorang kanak-kanak yang ingin mewakili kelab bolasepak Arsenal serta skuad kebangsaan bawah 13 tahun.

Ini semua mereka lakukan sebagai sebahagian daripada misi bersungguh-sungguh untuk menjadikan liga mereka lebih berdaya cipta, berdaya saing dan berdaya tahan.

Dalam kes Safee Sali, kemampuan dan kesungguhan Pelita Jaya untuk memikat dan mengikat pemain itu dengan tawaran ganjaran serta bonus sehingga RM2 juta ini membuktikan liga mereka adalah bukan liga sembarangan dan bukan liga kacang tanah.

Liga mereka kini sudah mencapai tahap Liga China, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

Malah India yang lebih dikenali sebagai negara kriket berbanding bolasepak telah bangun dari tidur dan dalam usaha yang bersungguh-sungguh menarik kedatangan pemain-pemain ternama seperti Hernan Crespo untuk membangunkan liga perdana mereka.

Walaupun Crespo adalah pemain pencen tetapi aura dan status bintang yang ada padanya itulah yang penting untuk menarik rasa minat masyarakat ke atas bolasepak.

Suatu ketika dahulu kita juga berada dalam 'liga' yang sama apabila bintang-bintang seperti Tony Cotte dan Abbas Saad datang bermain dalam liga kita.

Malangnya sekali lagi rasuah menjadi penjahanam liga kita dan isu yang membelenggu skuad Perlis baru-baru ini membuktikan bahawa gejala ini tidak pernah mahu pergi dari liga kita. Sedih sungguh.

Safee Sali telah menunjukkan kepada para pemain kita yang lain, apa yang mereka boleh capai dengan dua kaki yang berbakat serta dedikasi kepada sukan itu.

Mungkin juga Safee Sali telah membuka jalan kepada pemain-pemain berbakat seperti penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat serta seorang lagi penyerang berbakat dari Kelantan Norshahrul Idlan Talaha untuk menjadi jutawan bolasepak kita seterusnya.

Syabas Safee dan terima kasih Safee kerana membuka lorong buat pemain-pemain berbakat yang lain dari tanah air.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain