suria

Ribut Hujan Batu Rosakkan 57 Rumah Di Empat Mukim Di Kulim

KULIM: Sebanyak 57 rumah rosak dalam kejadian ribut dan hujan batu di sini, petang Selasa.

Kejadian pada pukul 6 petang di empat mukim itu menerbangkan 28 bumbung rumah terbabit.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim Rohana Yusuf berkata 35 rumah yang rosak itu ialah di Mukim Padang China, 16 di Mukim Keladi, lima di Mukim Lunas dan satu di Mukim Sungai Seluang.

"Kawasan yang paling teruk dilanda ribut ialah Taman Mutiara, Sungai Kob di Mukim Padang China," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian ribut mendapati banyak dahan, batang dan ranting pokok buah-buahan dan pokok hiasan bertaburan dan pokok yang tumbang telah dipotong dan dikumpul di tepi jalan untuk memudahkan laluan.

Seorang pekerja kilang, Hafizah Md Hasan, 40, berkata beliau yang mendukung anak bongsunya Norshafiq Hani, 2, nyaris ditimpa sebatang pokok mempelam ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari rumah pengasuh di Taman Mutiara, Sungai Kob.

"Dalam keadaan saya bersama anak basah kuyup akibat hujan lebat, saya hampir terjatuh berikutan angin kuat ketika berada berhampiran sebatang pokok mempelam...beberapa saat selepas itu, saya dapati pokok mempelam itu tumbang hampir menimpa saya dan anak," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Barisan Nasional (BN) Padang Serai Dr Chin Tung Leung, Setiausaha Umno Bahagian Padang Serai Drs Ahmad Zubib Saad dan Ketua Umno Cawangan Taman Mutiara Dr Zainal Abidin Raja Mohd Hashim melawat rumah-rumah mangsa untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung kerugian yang dialami mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain