suria

Pengawal Keselamatan Diminta Tampil Beri Keterangan Perbicaraan Kes Dadah

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu meminta seorang pengawal keselamatan tampil ke Mahkamah Kuala Terengganu bagi memberi keterangan perbicaraan kes dadah yang melibatkan seorang guru agama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt Roslan Abdul Wahid berkata ketidakhadiran Arzo Said, 38, yang merupakan saksi penting perbicaraan kes yang bermula Ogos lepas itu telah mengganggu prosiding kes tersebut.

"Kita meminta orang ramai atau ahli keluarga Arzo ini dapat memberi kerjasama kerana sehingga sekarang pihak polis masih gagal mengesan beliau," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya pihak mahkamah juga telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Arzo yang berasal dari Buluh Gading, Manir.

Arzo adalah saksi penting dalam kes perbicaraan Abdul Karim Mohammad, 41 yang menghadapi pertuduhan mengedar 347.6 gram ganja pada April tahun lepas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat dan mengenali Arzo boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Insp Misbah Abd Rashid di talian 019-9598804 atau balai polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain