suria

Dakwa Dipukul Akibat Salah Faham Muka Buku

KANGAR: Seorang pelajar perempuan 15 tahun dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini selepas mengalami muntah-muntah dikatakan dipukul sekumpulan rakan sekolahnya akibat selisih faham menerusi laman muka buku.

Noor Haidaanis Norizan yang dimasukkan ke hospital awal pagi Rabu pukul 1 turut mengalami lebam di beberapa bahagian badan dan bengkak di kepala akibat kejadian tersebut kira-kira pukul 6 petang Selasa.

Mangsa mendakwa dipukul sekumpulan pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini ketika sedang berjalan pulang seorang diri berhampiran sebuah taman perumahan di belakang sekolahnya.

"Mereka mengatakan saya cuba menggoda teman lelaki salah seorang rakan melalui laman sosial muka buku.

"Mereka bertindak kasar menampar, menumbuk, menendang dan menarik rambut saya. Kemudian muncul ramai lagi pelajar perempuan yang saya tak kenal turut bertindak sama," katanya ketika ditemui pemberita di HTF di sini, Selasa.

Noor Haidaanis berkata sebelum ini dia menerima ungutan daripada kumpulan pelajar sama yang dikatakan tidak puas hati dengannya kerana mempunyai ramai kawan walaupun baru berpindah ke sini.

Katanya, dia sebelum ini bersekolah di Sungai Petani, Kedah dan baru sebulan berpindah ke Perlis bersekolah dan menetap bersama neneknya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superitendan Ismail Che Isa mengesahkan menerima laporan mengenai kes itu daripada ibu mangsa serangan.

Katanya, siasatan awal mendapati empat pelajar sahaja terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah ugutan dan Seksyen 323 kerana bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain