suria

Bapa Dan Anak Lelaki Ditahan Edar Dan Miliki Dadah

MELAKA: Seorang bapa dan anak lelakinya yang dipercayai mengedar dan memiliki dadah ditahan di rumahnya di Kampung Padang, Pokok Mangga di sini, Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri (JSJN) Supt Md Azmi Othman berkata sebanyak 300 gram dadah jenis ganja mampat bernilai RM1,500 milik suspek pertama yang berusia 60 tahun itu dirampas dalam serbuan kira-kira jam 11.15 pagi selepas melakukan intipan selama seminggu.

"Pada awalnya pihak polis hanya menjumpai empat paket plastik mengandungi ganja pada poket baju dan seluar lelaki yang merupakan bekas pemandu bas ekspres itu.

"Namun selepas beberapa minit disoal siasat ia membawa kepada penemuan dua beg plastik yang mengandungi 21 paket ganja serta beberapa ketulan mampat dadah sama di dua lokasi berasingan di luar kawasan rumah suspek," katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Sementara itu beliau berkata anak lelaki yang merupakan suspek kedua yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di sini turut ditahan atas kesalahan memiliki sepaket tiub heroin dan dipercayai seorang penagih.

Katanya polis turut menjumpai sepaket dadah dipercayai jenis heroin dan lapan botol kecil cecair setiap satu dipercayai dadah jenis metadon dalam bilik tidur lelaki itu.

Md Azmi berkata kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Banda Hilir, di sini untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dan memiliki dadah sementara anaknya disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain