suria

SPAD Kuatkuasa Lesen Pengendali Mulai Hari Ini

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) menguatkuasakan lesen pengendali iaitu sistem perlesenan baru bagi semua kenderaan pengangkutan awam darat mulai Selasa.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, lesen pengendali merupakan lesen yang diperuntukkan mengikut Akta PAD 2010 dan ia diperlukan oleh semua pemilik kenderaan pengangkutan awam untuk menggantikan lesen kenderaan kepada lesen pengendali.

"Konsep lesen pengendali ini adalah sebagai satu mekanisme bagi tujuan mengawal selia pengusaha pengangkutan awam untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam darat," katanya.

Beliau berkata, kelebihan lesen pengendali ini, pengusaha hanya memerlukan satu lesen utama bagi semua kenderaan.

"Ini adalah yang utama di mana pengusaha tidak perlu 200 lesen jika mempunyai 200 kenderaan dan hanya memerlukan satu lesen pengendali sahaja," katanya selepas majlis penyerahan lesen pengendali kepada tiga syarikat pengusaha pengangkutan awam.

Sani Express, Sunlight Taxi Group dan Konsortium Logistik Berhad antara wakil pengangkutan awam yang menerima replika lesen pengendali sebagai simbolik lesen tersebut dikuatkuasakan mulai Selasa.

Syed Hamid berkata, semua kenderaan dalam kelas yang sama dibenarkan beroperasi di semua laluan yang diluluskan dan ini lebih fleksibel.

"Contohnya bagi pengusaha bas, lesen pengendali memberikan fleksibiliti bagi menukarkan bas mereka selagi ia berada dalam laluan yang diluluskan seperti yang tercatat di lesen tersebut," katanya.

Beliau berkata, lesen ini merupakan pakej maklumat lengkap yang mengandungi permit kenderaan, permit perkhidmatan dan tahap keperluan perkhidmatan.

"Permit kenderaan dibezakan mengikut warna dan ia lebih senang dilihat oleh pengguna kenderaan pengangkutan awam iaitu warna biru bagi permit bas, merah untuk teksi dan hijau bagi lori," katanya.

Dari segi penguatkuasaan undang-undang, Syed Hamid berkata, ia akan lebih cekap dan berkesan kerana tindakan akan diambil terhadap pemegang lesen pengendali dan bukannya ke atas kenderaan.

Beliau berkata, terdapat lebih 90,000 pengendali di negara ini dengan lebih 300,000 kenderaan yang dimiliki.

"Kini sudah 74,000 yang berubah sebagai pengendali dan bagi mereka yang belum berubah mereka tidak boleh lagi berubah tetapi perlu membuat permohonan baru sebagai pemohon baru untuk mendapatkan lesen tersebut kerana tarikh untuk berubah telah tamat," katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang tidak mempunyai lesen pengendali ini dianggap menjalankan perniagaan tidak sah dan boleh dikenakan tindakan.

"Tindakan undang-undang boleh diambil bagi mereka yang tidak mempunyai lesen ini dengan denda sebanyak RM1,000 hingga RM10,000 bagi individu dan bagi syarikat sehingga RM100,000," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain