suria

Perkasa Guna Angpau Putih: Bukan Alasan – Pemimpin Muda MCA

PETALING JAYA: Bukan alasan, demikian reaksi beberapa pemimpin muda MCA terhadap pemberian angpau warna putih oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina Ahad lalu.

Mengikut tradisi, wang yang diberikan dalam paket putih dikaitkan dengan ‘pak kam’ atau emas putih yang dijadikan sebagai sumbangan derma sewaktu majlis pengebumian.

Ketua Biro Profesional Muda, MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, tiada alasan bagi Perkasa terhadap perkara yang berlaku.

“Perkasa sepatutnya menyedari perkara itu. Mereka sepatutnya mempelajari amalan kaum lain sebelum menganjurkan majlis seperti itu, agar mereka tidak mengecewakan sesiapa,” kata Chua.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chai Kim Sen menyifatkan angpau putih pemberian Perkasa sebagai sesuatu yang tidak menghormati dan tidak mengetahuinya bukan dijadikan alasan.

“(Presiden Perkasa) Datuk Ibrahim Ali merupakan Ahli Parimen maka beliau perlu bertindak demi kepentingan rakyat dengan memahami masyarakat pelbagai budaya,” kata Chai dalam satu kenyataan.

Ketua Pemuda MCA dalam twitternya, @weekasiongmp, Datuk Dr Wee Ka Siong mengecam “beberapa orang” yang tidak memahami maksud angpau.

“Angpau dalam dialek Hokkien bermaksud paket merah. Jika anda mahu beri angpau kepada rakan-rakan anda, pastikan warnanya adalah MERAH,” tulis Dr Wee.

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Rahman Bakar pada Ahad berkata, paket putih itu hanyalah sampul mini yang mereka ada dan tidak mengetahui sekiranya warna itu menyinggung segelintir pihak.

Sementara itu, Setiausa Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, mereka tidak mengetahui bahawa paket putih merupakan pantang larang di kalangan masyarakat Cina.

“Bagi kami, warna putih itu melambangkan kesucian dan keikhlasan. Jika kami tahu ia adalah salah sekiranya menggunakan paket putih maka kami tidak akan melakukannya,” katanya.

Syed Hassan berkata, media sepatutnya menekankan usaha Perkasa untuk menjalinkan keharmonian yang lebih besar dan bukannya kesilapan yang tidak disengajakan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain