suria

Mahkamah Persekutuan Boleh Semak Keputusan Mahkamah Rayuan - Hakim Besar Malaya

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa sedia ada untuk melakukan semakan terhadap sebarang perintah atau keputusan Mahkamah Rayuan, demikian diputuskan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Katanya Mahkamah Persekutuan selaku mahkamah tertinggi di negara ini dilengkapkan dengan kuasa mendokong prinsip keadilan yang saksama dan mencegah ketidakadilan atau menyalahguna proses mahkamah.

Beliau merujuk kes-kes yang diputuskan sebelum ini yang menyatakan Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa sedia ada di bawah Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan untuk semakan bukan sahaja keputusan sendiri (Mahkamah Prsekutuan) tetapi juga keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes-kes di mana berlaku ketidakadilan.

"Dengan kuasa sedia ada ini, ia (Mahkamah Persekutuan) boleh mengekalkan ciri-cirinya sebagai mahkamah keadilan," kata Hakim Zulkefli dalam penghakiman bertulis setebal 12 muka surat bertarikh 12 Januari, 2012 dalam kes membabitkan wakil rakyat Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif.

Dalam kes itu, Hakim Zulkefli, yang mempengerusikan panel tiga-hakim Mahkamah Persekutuan pada 14 Nov tahun lalu, membenarkan permohonan Abu Hasan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan mengenai perintah pengangguhan, sekaligus menghalang beliau menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Pada 18 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong setelah memutuskan bahawa Abu Hasan tidak hadir untuk dua mesyuarat DUN berturut-turut pada 2009.

Pada 2 November, 2011, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk mengantung pelaksanaan keputusan mahkamah terdahulu yang mengekalkan kedudukan Abu Hasan sebagai ADUN Kota Siputeh sementara menunggu permohonannya (Abdul Isa) untuk kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Abu Hasan kemudian memfailkan semakan di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan perintah itu.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, membenarkan permohonan Abdul Isa untuk kebenaran merayu.

Pada 1 Oktober 2009, Abdul Isa memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sijil cuti sakit Abu Hasan atas ketidakhadirinnya dalam dua sidang DUN dan keputusan mengekalkannya sebagai ADUN kawasan Kota Siputeh.

Dalam permohonan itu, Abdul Isa mendakwa Abu Hasan gagal hadir dua mesyuarat DUN berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos, 2009 tanpa kebenaran Speaker DUN.

Dalam penghakiman bertulis, Hakim Zulkefli berkata Mahkamah Persekutuan menolak bantahan awal oleh peguam Abdul Isa, Sulaiman Abdullah bahawa permohonan semakan oleh Abu Hasan adalah menyalahguna proses mahkamah kerana dia sepatutnya memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan menurut Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dalam membenarkan permohonan Abu Hasan untuk semakan keputusan Mahkamah Rayuan, Hakim Zulkefli berkata berlaku ketidakadilan yang jelas terhadap Abu Hasanakibat keputusan Mahkamah Rayuan menangguhkan pelaksanaan keputusannya.

"Kami perhatikan pemohon tidak dapat hadiri persidangan dari 16 Nov, 2009 hingga 18 Ogos tahun lepas iaitu tempoh 21 bulan.

"Kami berpendapat pelucutan hak yang berpanjangan khusus selepas pemohon (Abu Hasan) berjaya dalam rayuan pada 18 Ogos 2011, adalah ketidakadilan yang serius terhadapnya dan tidak dalam apa cara pun dapat diganti dengan pampasan atau kos," katanya.

Hakim Zulkefli berkata Abu Hasan dipilih secara demokratik oleh pengundi Kota Siputeh semasa pilihan raya umum pada Mac 2008 dengan majoriti 495 undi dan oleh itu beliau mempunyai tanggungjawab melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Adalah menjadi hak demokrasi penduduk kawasan Kota Siputeh diwakili oleh seorang wakil rakyat dan mengikut perintah Mahkamah Rayuan betarikh 2 Nov, 2011, mereka kehilangan hak itu," jelasnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain